Siapa masih ingat jaringan tunggal bekas penyerang skuad B-23 negara, N. Thanabalan yang akhirnya berjaya menumbangkan musuh ketat, Indonesia dan membawa skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ke pentas final?
Gol tersebut tiba empat minit sebelum perlawanan berakhir. Berdepan pula dengan musuh serumpun, gol itu ternyata merentap jiwa pemain dan penyokong lawan. Sepakan penjuru yang diambil Nor Azam Azih dari sebelah kanan gawang berjaya menemui kepala Thanabalan untuk menanduk masuk jaringan kemenangan.
Malaysia mara ke final buat kali pertama selepas kali terakhir melakukannya ketika memenangi kejohanan tersebut pada edisi 2011. Kali ini ianya lebih indah kerana jaringan Thanabalan itu dilakukan di hadapan ribuan penyokong sendiri di Stadium Shah Alam kerana Malaysia merupakan tuan rumah untuk Sukan SEA 2017.
Thanabalan merupakan penjaring terbanyak kejohanan dengan empat gol dalam enam perlawanan. Jelas Kim Swee adalah insan yang tahu untuk mendapatkan yang terbaik daripada penyerang jenis ‘poacher’ klasik itu. Jumlah golnya bersama skuad muda negara lebih banyak daripada jumlah golnya dalam saingan liga!
14 gol daripada 18 penampilannya melebihi jaringannya di saingan liga sejak permulaan kariernya hingga kini.
Kariernya bersama skuad kebangsaan berakhir bersama skuad B-23. Di saat ramai meramal beliau akan mula melangkah untuk skuad senior pula, ia langsung tidak berlaku. Beliau tenggelam dalam saingan liga tempatan.
Ini kerana, jenis penyerang ‘poacher’ klasik ini sudah mula ditelan zaman. Mereka tidak lagi banyak digunakan dalam bola sepak era moden. Dan Thanabalan secara perlahan-lahan mula hilang dari peta bola sepak negara.
Thanabalan Dan Syahrul Azwari Sah Sertai Skuad Helang Merah – https://t.co/8ximyNk4fY pic.twitter.com/ToONb3jH27
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 22, 2018
Thanabalan beraksi bersama negeri kelahirannya, Negeri Sembilan sejak musim 2014 hingga 2018 sebelum berhijrah ke Kedah untuk musim 2019. Beliau dipinjamkan selama semusim ke Felcra FC pada musim 2017.
Bersama Kedah, beliau tampil sebanyak 16 kali di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak dan hanya meledak satu gol sebelum dipinjamkan ke Perak. Di Perak, beliau didaftarkan bersama Perak II untuk saingan Liga Premier.
Tidak banyak dapat diperkatakan mengenai kariernya bersama pasukan dalam saingan liga kerana beliau jarang diturunkan sebagai penyerang utama selain penyerang baka ‘poacher’ klasik yang semakin terpinggir kini.
Musim 2021, menurutnya beliau ‘terpaksa’ menyertai Sabah FC apabila cubaannya untuk kembali ke Negeri Sembilan gagal direalisasikan akibat beberapa isu. Begitupun, beliau berazam untuk memberi yang terbaik.
Dalam 22 perlawanan Liga Super, beliau hanya diturunkan oleh pengendali, Kurniawan Dwi Yulianto sebanyak dua kali dan meraih 134 minit permainan. Jelas, beliau semakin terpinggir dek kerana gaya permainannya.
Namun, dalam saingan Piala Malaysia 2021, Sabah telah menukar pengendali pasukan. Kim Swee hadir dengan reputasi besar sebagai bekas pengendali skuad B-23 dan skuad senior negara untuk membangkitkan kembali Sabah ‘Sang Badak’ daripada tidur yang panjang. Kurniawan Dwi Yulianto dilepaskan pengurusan pasukan.
Dalam empat perlawanan Piala Malaysia setakat ini, Thanabalan seolah-olah diberikan ‘nyawa’ baharu oleh bekas pengendali yang mengetahui kelebihannya. Beliau beraksi dalam keempat-empat perlawanan dalam sistem taktikal kegemaran Kim Swee iaitu 3-4-3. Namun, mereka masih ‘bergelut’ untuk menyesuaikan diri.
Dapat dilihat Thanabalan yang sudah lama terpinggir juga cuba mengembalikan ketajamannya. Gandingannya bersama Amri Yahyah adalah secara tetap sementara satu lagi posisi masih dicuba-cuba oleh Kim Swee.
Dalam aksi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini, dapat dilihat beliau telah berusaha keras mencari momentum semula sebagaimana ketika di bawah kendalian Kim Swee bersama skuad Harimau Muda dahulu. Beliau hampir meledak gol ‘trademark’, tanduk terbang, namun hantaran lintang Amri Yahyah terlalu laju.
Adakah Thanabalan akan kembali dengan reputasinya bersama skuad B-23 negara? Sebagai pemain yang istimewa di mata Kim Swee, beliau sudah tentu akan berusaha keras untuk kembalikan sentuhannya semula.