Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mahu mencabar keputusan FIFA di Mahkamah Timbang Tara Sukan Antarabangsa (CAS).
Ini berikutan keputusan oleh badan pengendali bola sepak dunia itu yang membuatkan Pulau Pinang dipotong 6 mata, sekaligus menafikan peluang mereka bermain dalam Liga Super 2020.
RASMI: Pulau Pinang tidak ke Liga Super 2020, dipotong 6 mata atas arahan FIFA.
Hal ini kerana Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) gagal ikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA.#SemuanyaBOLA pic.twitter.com/KZ9CfL4R0L
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) July 21, 2019
Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah menyatakan ketidakpuasan hati beliau ke atas keputusan FIFA. Hal ini kerana kesilapan itu dibuat oleh pengurusan yang lama.
Dr. Amar (gambar) menegaskan, FAP sedia membayar penalti yang lebih tinggi tetapi tidak dapat menerima hukuman potong 6 mata yang dianggap terlalu berat.
Dr. Amar berkata: “Kami akan merayu perkara ini di CAS bagi mencabar keputusan FIFA yang dianggap terlalu keras ke atas pasukan Pulau Pinang – pasukan yang telah berjaya mengatasi banyak halangan bagi melayakkan diri ke Liga Super musim hadapan.”
FAP mengesahkan mereka sedang mencari peguam yang berpengalaman untuk mengemukakan rayuan ini dalam masa terdekat.
“Proses rayuan sedang berjalan, saya jangkakan keputusan ini tidak akan mengambil masa yang panjang, mungkin sekitar 1 ataupun 2 bulan,” tambah beliau lagi.
Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee berharap CAS akan memberikan keadilan kepada Pulau Pinang. Ini selepas kerajaan memberikan lebih RM5 juta kepada FA untuk menguruskan Pulau Pinang pada musim ini – termasuk mendapatkan pemain dan memperbaiki kualiti pasukan.