Pahang akhirnya berjaya mengesahkan status naib juara Liga Super Malaysia (MSL) 2019 selepas berjaya menundukkan FELDA United 3-1 di Stadium Darul Makmur dalam aksi ke-21, malam tadi.
Selain itu, Pahang juga memperbaiki mata dan kedudukan yang diraih musim lalu – kedudukan ke-4 di belakang Perak dan PKNS FC dengan 34 mata. Musim ini, berbaki 1 perlawanan, Pahang telah mengumpul 40 mata, 6 mata di depan Kedah dan Selangor.
Berdepan pasukan yang sedang bergelut untuk kekal di saingan Liga Super, Pahang memanfaatkan peluang tersebut dengan kemenangan selesa biarpun terikat 1-1 di babak pertama.
Jaringan Herold Goulon dan Dickson Nwakaeme di babak kedua membantu Tok Gajah yang dalam misi memenangi kedudukan kedua terbaik liga, di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
14’| GOL KAIMBI
Gol pertama untuk tuan rumah malam ini hadir melalui Lazarus Kaimbi!@OfficialPahang 1-0 @feldaunitedfc #LigaSuper2019#MFLLive#PHGFEL pic.twitter.com/pWIqs5xetU
— MFL LIVE (@MFL_Live) July 17, 2019
Pada minit ke-14, pemain import, Lazarus Kaimbi menanduk masuk jaringan pembukaan buat tuan rumah hasil hantaran lintang kemas pemain sayap, Saddil Ramdani dari sebelah kiri pintu gol yang dikawal penjaga gol berpengalaman, Norazlan Razali.
Kali terakhir pemain kelahiran Namibia ini menghasilkan gol adalah ketika menentang PKNP FC pada pertengahan Jun yang lalu.
28’| GOL CHANTURU!
S.Chanturu memberikan harapan buat pasukan pelawat pada malam ini apabila beliau menjaringkan gol penyamaan untuk The Fighters!@OfficialPahang 1-1 @feldaunitedfc
#LigaSuper2019#MFLLive#PHGFEL pic.twitter.com/622xfm2k2K— MFL LIVE (@MFL_Live) July 17, 2019
FELDA United yang juga dalam pemburuan mata penuh bagi mengekalkan slot Liga Super musim depan berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan S. Chanturu pada minit ke-27 – jaringan pertamanya untuk musim ini selepas hampir 15 penampilan.
Bermula aksi babak kedua, Pahang yang tidak mahu sekali lagi gagal mengesahkan kedudukan kedua, bangkit untuk mengasak pelawat namun gagal untuk menghasilkan jaringan sebelum di minit ke-72, muncul Herold Goulon meledak gol pendahuluan.
72’| GOL GOULON!
Herold Goulon terus menunjukkan ‘bisa’ nya walaupun beliau seorang pertahanan tengah apabila menjaringkan gol kedua Tok Gajah!@OfficialPahang 2-1 @feldaunitedfc #LigaSuper2019#MFLLive#PHGFEL pic.twitter.com/00jLLXHzCa— MFL LIVE (@MFL_Live) July 17, 2019
Berpunca daripada sepakan percuma daripada luar kotak penalti, Herold Goulon memanfaatkannya dengan menanduk masuk jaringan kedua dan juga jaringan ke-6 dalam liga musim ini.
Biarpun hanya beraksi di posisi pertahanan tengah, Herold Goulon mempamerkan bisa sentuhan jaringannya di depan gol lawan apabila telah merekodkan 2 gol dalam 5 perlawanan terkini.
88’| GOL DICKSON!
Dickson Nwakaeme menamatkan perjuangan The Fighters selepas menjaringkan gol ketiga Tok Gajah pada malam ini!@OfficialPahang 3-1 @feldaunitedfc #LigaSuper2019#MFLLive#PHGFEL pic.twitter.com/oKeRcVFUJ2
— MFL LIVE (@MFL_Live) July 17, 2019
Dua minit menuju wisel penamat, Dickson Nwakaeme menambah derita The Fighters apabila meledak gol menarik selepas menerima hantaran penyerang skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.
Kekalahan FELDA United ini memberikan ruang buat PKNP FC dan Kuala Lumpur untuk membuat perhitungan slot kekal di Liga Super musim depan. Mereka bakal berdepan perlawanan sukar hujung minggu ini dengan satu slot untuk kekal menjadi rebutan.