Quantcast

KAJIAN & FAKTA KOMUNITI TEMURAMAH

EKSKLUSIF: Presiden FAP Perjelas Masalah Liga Amatur & Penganjuran A-League Penang M4

Pelbagai dakwaan telah dihamburkan kepada Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) mengenai halangan pihak mereka terhadap liga amatur yang cuba dianjurkan dan digerakkan oleh para penyokong di Pulau Pinang yang dikenali sebagai A-League Penang M4.

Adakah benar segala dakwaan yang telah diperkatakan itu? Untuk mendapatkan penjelasan, Semuanya BOLA telah menghubungi Presiden FAP, Dr. Amar Pritpal Abdullah untuk menjawab persoalan berhubung dakwaan-dakwaan yang telah dilemparkan tersebut.

A-League Penang 2019

8 pasukan dikatakan bakal bertanding di dalam A-League Penang 2019 yang merupakan liga di bawah seliaan Liga Bolasepak Amatur (AFL) yang merupakan anak syarikat Liga Bolasepak Malaysia (MFL). Ia sepatutnya dijadualkan akan bermula pada 6 Julai yang lalu.

Liga M3 yang sebelum ini dikenali sebagai Liga FAM dan Liga M4 telah diletakkan dibawah kendalian AFL. Menerusi kerjasama para penyokong Pulau Pinang, sebuah liga telah didaftarkan untuk menyertai struktur dalam piramid paling bawah Liga Malaysia ini.

APABILA BERPIKIR DILUAR KOTAK! Dalam surat yang dihantar kepada FAP, kepala surat kami 'letterhead' yang dihantar…

Posted by A-League Penang M4 on Monday, July 1, 2019

Begitupun, pada 2 Julai yang lalu, melalui posting di laman rasmi Facebook A-League Penang M4, telah diumumkan mengenai kegagalan pihak penganjur untuk merealisasikan liga tersebut apabila dikatakan telah dinafikan hak mereka oleh pihak FAP.

Liga tersebut sepaturnya bakal disertai oleh 8 pasukan iaitu USM FC, MBSP FC, MBPP FC, PBAPP FC, Heng EE FC, Mutiara BP FC, Arena FC dan Panthers United. Undian jadual perlawanan juga telah berjalan.

Presiden FAP: Tiada unsur sabotaj

Dr. Amar Pritpal Abdullah ketika dihubungi menjelaskan yang tiada unsur sabotaj seperti yang digembar-gemburkan di media sosial. Ini kerana, baginya kesalahan adalah dari pihak penganjur sendiri sejak dari awal.

“Kejohanan ini tiada kaitan dengan FAP. Bila mereka minta kepada kita pengadil, kita maklumkan yang ini bukan kejohanan anjuran FAP. Jadi, jika mereka mahukan pengadil, mereka boleh terus menghubungi pihak pengadil sendiri,” ujar Dr. Amar Pritpal.

Dr Amar Pritpal CM Penang

FOTO: FA Penang

“Mereka minta kita atur pengadil untuk kejohanan tersebut. Kita tidak anjurkannya, mengapa kita perlu bertanggungjawab?

“Dan sebagai satu persatuan atau kelab yang ingin menganjurkan satu kejohanan, kita perlukan surat daripada mereka. Bila anda hantar surat kepada kita dengan letterhead ‘Amateur Football League’, timbul persoalan, siapa ‘Amateur Football League’ itu?

“Saya juga tertanya-tanya siapa yang menggerakkan liga ini sebenarnya,” jelasnya lagi sambil menegaskan sekali lagi, tiada keperluan untuk libatkan FAP jika ianya bukan anjuran FAP.

Tambahnya, letterhead yang dikatakan bermasalah itu sebenarnya tiada maklumat terperinci mengenai penganjur untuk liga tersebut.

Idea bagus, tapi bincanglah dulu

Jadi, dimanakah masalahnya? Menurut perkongsian sebuah laman Facebook penyokong Pulau Pinang, Penang Brotherhood, segala persiapan telah menuju ke penghujungnya sebelum isu FAP tidak meluluskan pengadil berdaftar untuk kegunaan liga tersebut.

Bola dah sampai tapi liga tak boleh jalan, kesian kan? usaha penyokong kita dari bulan march hingga july dipersia….

Posted by Penang Brotherhood on Monday, July 1, 2019

“Semua persediaan anda telah buat sendiri sejak dari awal dan akhir sekali, tiba-tiba anda minta FAP untuk masuk bersama-sama bagi proses penyediaan pengadil dan sebagainya, untuk apa?

“Idea liga amatur ini bagus. Tapi berbincanglah dahulu. Mungkin anda boleh tarik pasukan daripada Divisyen 1 (liga anjuran FAP). Apakah kelayakan pasukan-pasukan yang bertanding? Macam MBSP FC, dalam Divisyen 3, Liga Bukit Mertajam pun bergelut.

“USM FC dan PBAPP FC kita faham, mereka pernah bermain dalam saingan Liga Malaysia. Tetapi MBSP FC, apakah kelayakan mereka?” soal Dr. Amar Pritpal sambil turut mempersoalkan bagaimana kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur kejohanan.

“Akhir sekali, bila ada masalah dengan pihak pengadil barulah mereka datang rujuk kepada pihak FAP,” tambahnya lagi.

Bagaimana perjalanan Liga M4 di Selangor

Liga M4 sebenarnya boleh berlangsung tanpa sokongan daripada persatuan negeri. Dan pihak AFL sahaja yang berhak menentukan samaada liga tersebut menepati piawaian liga M4 atau tidak.

Terrapins FC SCL 2016

Terrapins FC, juara SCL 2016. FOTO: Selangorkini

Selangor adalah negeri yang memiliki paling banyak Liga M4 berbanding negeri lain iaitu 12 liga termasuk yang dianjurkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Liga Super FAS. Bagaimana secara ringkas, 12 liga ini boleh berlangsung tanpa masalah?

Penulis difahamkan ada kerjasama antara FAS dan Liga M4 di Selangor. FAS terlibat secara langsung dalam liga tersebut kerana di Selangor terdapat satu lagi kejohanan yang menampilkan kelab-kelab terbaik di sana iaitu Selangor Champions League.

Selain itu, FAS ketika ini juga dikatakan sedang giat bekerjasama bersama-sama Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menubuhkan akademi pengadil muda.

Pengadil-pengadil muda ini akan dilatih dan dihantar mengadili perlawanan di Liga M4 untuk menimba ilmu dan pengalaman.

FAP tidak halang niat pasukan lain

Berhubung satu lagi kenyataan yang FAP meminggirkan persatuan dan kelab untuk pergi lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia, Presiden FAP itu menjelaskan FAP langsung tidak menghalang pasukan yang berniat untuk bergerak ke peringkat lebih tinggi.

Juara Liga FAP 2016

Juara Divisyen 1, Liga FAP 2016. FOTO: FA Penang

Malah, melalui platform yang disediakan oleh pihak FAP iaitu Liga FAP yang merangkumi tiga divisyen, pasukan dan kelab juga masih boleh melangkah lebih jauh jika mereka mampu dan berminat.

“Siapa yang mahu dan mampu, silakan. Yang jadi johan atau naib johan liga Divisyen 1, kalau mahu, pergilah,” jawabnya ringkas.

“Liga Divisyen 3 kita datang dari juara-juara liga daerah. Dan tiap-tiap tahun kita akan bagi peluang pasukan dan kelab dari liga daerah beraksi di Divisyen 3 dan begitu jugalah seterusnya.

“Kalau johan Divisyen 1 mahu pergi ke sana (Liga M3), silakan jika mampu. Barulah kita ada maruah di sana. Adakah kita mahu hantar pasukan yang akan dibelasah 7-0, 8-0 di sana?” ujarnya lagi.

FAP dan MFL

Presiden FAP dan CEO MFL. FOTO: MFL

Dr. Amar Pritpal turut menjelaskan yang dirinya memahami situasi yang mana Liga FAP yang sudah tidak berlangsung beberapa tahun akibat masalah yang dilalui sebelum ini, yang menurutnya ia telah digerakkan oleh ‘individu-individu’ yang gagal merancang.

Penutup

Penulis melihat masalah ini masih mampu diselesaikan jika kedua-dua pihak mahu duduk semeja dan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian. Perlu ada komunikasi dan kompromi antara kedua-dua pihak kerana dilihat masalah komunikasi adalah punca utama.

Tidak perlu menunding jari salah di pihak mana. Perbincangan agar liga tersebut boleh berlangsung perlu diadakan segera agar segala peperangan ‘siapa betul, siapa salah’ ini akan berakhir. Ada pro dan cons kepada kedua-dua pihak berkaitan permasalahan dan isu ini.

Bak kata Dr. Amar Pritpal diakhir bicara, “Semua yang kita buat adalah untuk kebaikkan dan kemajuan bola sepak Pulau Pinang.”

Jika FAS dan 11 Liga M4 di Selangor boleh bergerak seiringan, mengapa pula FAP dan 1 Liga M4 di Pulau Pinang tidak boleh? Buanglah yang keruh, kita ambil yang jernih.