Melaka United berjaya meraih kemenangan pertama selepas 4 perlawanan Liga Super Malaysia (MSL) 2019 apabila berjaya menundukkan Kedah 2-1 di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.
Jaringan tunggal penyerang, Casagrande di babak kedua berjaya memberikan tiga mata berharga yang diburu oleh skuad Hang Tuah sejak kali terakhir merekodkan kemenangan pada 3 Mac lalu.
Kedah gagal meneruskan rentak kemenangan yang diperolehi pada Jumaat lalu – menang ke atas Terengganu FC dan ini merupakan kekalahan ketiga skuad Helang Merah pada musim ini.
Kedua-dua pasukan turun dengan formasi yang hampir sama dengan 4-2-3-1 menjadi asas pasukan menjadikan perlawanan agak seimbang dengan kedua-dua saling berbalas serangan.
Begitupun perlawanan agak mendatar dengan tiada percubaan berbahaya mampu dihasilkan oleh jentera serangan pasukan masing-masing sepanjang 45 minit babak pertama berlangsung.
Tuan rumah dan pelawat juga mempamerkan disiplin bertahan yang baik setiap kali menerima asakan lawan. Kemampuan menyerap asakan lawan membantu penjaga gol untuk ‘berehat’.
Tuan rumah memiliki peluang di minit ke-9 apabila tandukan kapten, Shukor Adan tersasar daripada gol, hasil hantaran kemas Deevan Raj yang menemuinya di sebelah kanan gol Kedah.
Beberapa minit kemudian, Melaka United sekali lagi berpeluang meledak gol pertama namun tandukan penyerang, Casagrande tersasar sebelum rembatan jauh Jonatan Bauman untuk Kedah pula berjaya diselamatkan dengan baik oleh Khairul Fahmi.
Peluang terbaik Kedah hadir di minit ke-35 menerusi percubaan sepakan percuma Baddrol Bakhtiar yang didapati berdekatan kotak penalti, namun jauh melewati palang gol Khairul Fahmi.
Bermula babak kedua, akhirnya Melaka United yang terlebih dahulu berjaya memecah kebuntuan hasil gol tandukan penyerang, Casagrande di minit ke-49 berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil oleh Safiq Rahim – jaringan keduanya musim ini.
Benteng tuan rumah yang ditunjangi Jang Suk-won dan Shukor Adan jelas berjaya mengekang setiap asakan pelawat yang dilihat cuba bangkit untuk memburu jaringan penyamaan. Selain itu, tampak Helang Merah kian bergelut di kawasan final third mereka.
Ketumpulan jentera serangan Kedah dan keberkesan pertahanan tuan rumah antara perkara menarik sepanjang aksi babak kedua.
Kali terakhir Kedah menang ke atas Melaka United adalah pada musim 2017 dalam saingan Piala Malaysia dan pada musim lalu, Helang Merah tumpas dalam aksi di laman sendiri dan juga lawan.
Kekalahan ini menyebabkan Kedah kekal di posisi ke-4 liga dan gagal memintas semula Selangor sementara Melaka United berjaya melonjak naik ke kedudukan ke-5, 1 mata di belakang Kedah.
Melaka United: Khairul Fahmi (PG), Jang Suk-won, Shukor Adan (K), Wan Amirul, Raimi Md Noor (74′ Faris Shah), Saiful Ridzuwan (63′ Nazrin Nawi), Darko Markovic, Safiq Rahim, Deevan Raj (82′ Razman Roslan), Patrick Reichelt, Casagrande
Kedah: Ifwat Akmal (PG), Renan Alves, Shakir Hamzah, Rizal Ghazali, Azmeer Yusof, Baddrol Bakhtiar (K), Fadzrul Danel, Zaquan Adha (20′ Syahrul Azwari), Farhan Roslan, Jonatan Bauman, Fernando Rodriguez