Quantcast

BERITA

EPL: Everton Belasah Man. United 4-0, Red Devils Tempah Laluan Berliku Untuk Ke UCL

Everton memberikan mimpi ngeri kepada Ole Gunnar Solskjaer. Everton membelasah Manchester United 4-0 di Goodison Park.

Segalanya serba tidak menjadi untuk Man. United. ‘On target’ pertama mereka adalah pada minit ke-86.

Everton di hadapan pada minit ke-13, menerusi Richarlison yang melakukan libasan hasil sepakan penjuru.

Pada minit ke-28, Everton mendapat 1 lagi gol menerusi Sigurdsson yang menyempurnakan serangan balas – menewaskan De Gea dengan percubaan dari luar kotak penalti.

Man. United bergelut sepanjang separuh masa pertama. Ole Gunnar Solskjaer hanya mampu melihat aksi tidak bermaya para anak buahnya.

Mereka masuk ke padang untuk separuh masa kedua dengan melakukan beberapa pertukaran untuk bangkit. Solskjaer terus melakukan 2 pertukaran pada sepak mula separuh masa kedua – memasukkan Ashley Young dan Scott McTominay.

Namun hakikatnya, keadaan terus teruk apabila Everton mencipta lebih banyak peluang gol.

Lucas Digne menjaringkan satu lagi gol dari luar kotak penalti dengan separa voli yang kemas menewaskan De Gea.

Everton menambah derita Man. United dengan gol ke-4 menerusi Theo Walcott.

Perlawanan berakhir 4-0. Ole Gunnar Solskjaer masih belum dapat membangkitkan semula Man. United selepas kekalahan di tangan Barcelona.

Ini kekalahan ke-5 Man. United berturut-turut di tempat lawan selepas kemenangan mereka di Paris. Ini ulangan rekod terburuk mereka lebih 3 dekad yang lalu.

Kekalahan ini juga membuatkan Manchester United berhadapan laluan sukar untuk melayakkan diri ke UCL musim hadapan. Mereka kini kekal di tangga ke-6.

2 perlawanan mereka selepas ini adalah menentang Man. City dan Chelsea.