Kuala Terengganu terus menjelmakan tuah buat Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) selepas berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 keatas Terengganu FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.
Minggu lalu, PKNP FC berjaya menundukkan Batu Dua FC dalam saingan Piala FA dengan keputusan dan beraksi di stadium yang sama.
Seperti dijangkakan sebelum perlawanan, skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu pasti tidak akan memberikan laluan yang mudah buat Terengganu FC walaupun tuan rumah mendapat suntikan semangat penyokong setia mereka.
PKNP FC terlebih dahulu memberikan sedikit tekanan ke kubu Terengganu FC dengan rembatan dari luar kawasan penalti dilakukan G. Mugenthiran pada minit ke-13.
Namun, rembatan itu langsung tidak memberikan masalah buat penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh untuk menangkap kemas percubaan tersebut.
Yashir Armando Pinto Islame terus memberikan tekanan ke kubu tuan rumah, namun beliau yang meluru pantas ke dalam kawasan penalti melepaskan rembatan melewati palang gol.
Malang menimpa Terengganu FC pada lewat aksi babak pertama setelah Ahmad Syamim Yahya melakukan kekasaran terhadap Mugenthiran dalam kawasan penalti yang memaksa pengadil perlawanan, Mohammad Zamzaidi Katimin menghadiahkan sepakan penalti buat PKNP FC.
Giancarlo Lopes Rodrigues yang mengambil sepakan tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-45.
Penjaga gol PKNP FC, Ahmad Asyraaf Omar menghampakan penyokong setia tuan rumah apabila beliau dengan cemerlang menafikan sepakan percuma cantik yang diambil Chanthacheary Bin pada masa kecederaan.
Giancarlo Lopes sekali lagi menemui sentuhan jaringan hanya seminit selepas aksi babak kedua bersambung.
Kredit juga harus diberikan kepada Mugenthiran yang berjaya merampas bola daripada Adib Aizudin Ab Latif di sebelah kiri pintu gol Terengganu FC dan kemudiannya melakukan hantaran buat Giancarlo yang melepaskan rembatan bagi menewaskan Wan Azraie.
Tersentak dengan dua jaringan tersebut, anak buah Irfan Bakti Abu Salim meningkatkan rentak permainan dengan melancarkan beberapa serangan ke arah pintu gol PKNP FC.
Syamim Yahya merapatkan jurang pada minit ke-73 hasil rembatan dalam kawasan penalti walaupun percubaannya berjaya ditepis Asyraaf, namun bola masih bergolek untuk menembusi gawang PKNP FC.
Jaringan yang ternyata meningkatkan moral para pemain tuan rumah untuk terus menjaringkan gol.
Percubaan demi percubaan yang dilancarkan Terengganu FC selepas itu bagaimanapun gagal menghadirkan sekurang-kurangnya jaringan penyamaan sekaligus memberikan kekalahan ketiga skuad penyu.
Dengan kemenangan kedua berturut-turut yang diraih dalam saingan Liga Super 2019, PKNP FC kini berada di tangga ke-10 dengan mengumpul tujuh mata manakala Terengganu turun ditangga ke-7 setelah meraih sembilan mata.