Pengendali skuad futsal Pulau Pinang, Hasrinizam Hashim menjelaskan kepada Semuanya BOLA, mungkin salah satu punca skuadnya tewas 4-6 kepada Kuala Lumpur adalah perasaan gementar yang dilalui penjaga gawang, Syamirul Aziz.
Beraksi buat kali pertama di Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL), Syamirul Aziz gagal untuk kembali tenang selepas dibolosi dua gol dalam tempoh enam minit, malah memberikan gol mudah atas kesilapan clearance yang terkena pemain lawan.
Begitupun, penjaga gol Pulau Pinang itu sebenarnya telah menampilkan satu aksi yang memberangsangkan dengan beberapa aksi menyelamatkan pintu golnya sepanjang beraksi sebelum digantikan oleh Amri Zulhaini selepas itu.
“Syamirul [Aziz] tidak dapat settle down yang memaksa saya untuk menukar penjaga gol kedua bagi menyekat kemaraan Kuala Lumpur,” jelas Hasrinizam Hashim.
“Beliau agak gementar menjadi punca untuk terus membuat kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh penjaga gol utama,” tegasnya sambil berkata selain itu, pasukannya turut melepaskan banyak peluang untuk menghasilkan gol.
Hasrinizam Hashim turut berkata, ketika dalam latihan dan perlawanan persahabatan sebelum ini, Syamirul Aziz menampilkan sesuatu yang meyakinkan, berbanding apa yang terjadi dalam penampilan sulungnya menentang Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi, para pemain telah mengikut arahan dengan baik cuma kesilapan memberikan dua gol mudah buat Kuala Lumpur telah menyebabkan mereka kian jauh ketinggalan dalam aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic.
Kuala Lumpur mendahului perlawanan 2-0 dalam tempoh enam minit, hasil jaringan Shah Azman dan Awaluddin Hassan sebelum Amirul Ismail merapatkan jurang gol di minit ke-8. Tiga minit kemudian, Shah Azman berjaya menghasilkan gol keduanya.
Minit ke-17, Shah Azman melengkapkan hatriknya apabila rembatan derasnya berjaya memperdaya Syamirul Aziz buat kali ketiga untuk Kuala Lumpur makin selesa.
“Pemain ini [Shah Azman] adalah pemain yang sama bermain untuk Kuala Lumpur musim lepas, tetapi Pulau Pinang tidak fokus ketika bertahan menyebabkan dia mendapat peluang untuk menjaringkan tiga gol,” ujarnya mengenai Shah Azman.
Hasrinizam Hashim yang merupakan penolong jurulatih Pulau Pinang pada musim lalu itu berharap yang tempoh rehat panjang ini mampu dimanfaatkan bagi membaiki kekurangan dan akan kembali bangkit dalam perlawanan kedua nanti.
KREDIT FEATURED IMAGE: FAM