Dibenci Ultras Di Jerman, Kini Pemilik Hoffenheim Ini Hero Satu Dunia

Dietmar Hopp – individu yang paling dibenci oleh ultras bola sepak Jerman – diangkat menjadi hero satu dunia selepas menolak tawaran USD1 bilion (RM4.33 bilion) daripada Donald Trump yang mahu membeli ‘hak eksklusif’ vaksin COVID-19.

Syarikat biofarmaseutikal Hopp, CureVac sedang berada di landasan terbaik untuk mencipta vaksin COVID-19.

Semalam The Guardian melaporkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mahu membeli hak eksklusif vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan oleh CureVac – supaya ia hanya boleh dijual dan digunakan di Amerika Syarikat sahaja.

Embed from Getty Images

Menteri-menteri Jerman dilaporkan berang dengan tindakan tamak Trump tersebut. “Jerman bukan untuk dijual,” kata menteri ekonomi Peter Altmaier kepada ARD. Akhbar Welt am Sonntag pula mencetak muka depannya dengan tajuk: ‘Trump vs Berlin’.

Akhbar tersebut mendedahkan Trump menawarkan USD1 bilion (RM4.33 bilion) kepada syarikat biofarmaseutikal yang berpangkalan di Tübingen itu untuk memastikan vaksin tersebut ‘hanya boleh digunakan di Amerika Syarikat’.

Vaksin COVID-19 bukan untuk AS sahaja

Laporan tersebut menimbulkan reaksi amarah di Berlin. Menteri luar Jerman, Heiko Maas berkata pembangunan vaksin ini merupakan kerjasama antarabangsa, dan untuk manfaat masyarakat antarabangsa. Bukan untuk sebuah negara sahaja.

“Penyelidik Jerman mengetuai usaha pembangunan vaksin ini dengan kerjasama jaringan antarabangsa. Kita tak boleh biarkan situasi di mana ada orang yang mahu mendapatkan hasil kajian ini secara eksklusif.”

Sementara itu Dietmar Hopp yang merupakan ketua unit pelaburan Hopp Biotech Holding yang memiliki CureVac berjanji tidak akan menjual vaksin COVID-19 ini kepada satu negara sahaja.

Embed from Getty Images

“Jika kami berjaya membangunkan vaksin COVID-19 yang berkesan, ia akan membantu dan melindungi orang ramai di seluruh dunia.”

Selepas gagal membeli hak eksklusif vaksin COVID-19 ini, ada khabar angin yang mengatakan kerajaan Amerika Syarikat mahu membeli terus CureVac daripada pelaburnya, Dietmar Hopp. Menteri kesihatan Jerman, Jens Spahn memberi respons:

“Selepas ini, sebarang usaha untuk membeli CureVac akan kami pastikannya gagal. CureVac membangunkan vaksin untuk kegunaan satu dunia. Bukannya satu negara sahaja.”

Seorang lagi ahli politik Jerman yang juga merupakan ketua parti liberal FDP, Christian Lindner menuduh langkah Trump sebagai cubaan ‘electioneering’ (merancang pilihanraya).

“Dah pastilah Trump mahu lakukan apa sahaja untuk menang pilihanraya.”

Trump dikatakan mahu nampak seperti hero rakyat Amerika Syarikat (terutamanya di depan penyokong Parti Republican) dengan memastikan vaksin COVID-19 hanya dapat digunakan di sana sahaja.

Sentimen hero ini pula akan digunakan oleh jentera partinya untuk memenangi Pilihanraya Presiden pada 3 November nanti.

Siapa CureVac?

CureVac yang diasaskan pada tahun 2000 di Baden-Württemberg, Jerman mempunyai cawangan operasi di Frankfurt dan Boston.

Embed from Getty Images

Firma biofarmaseutikal ini mempunyai kepakaran membangunkan rawatan kanser, terapi berasaskan antibodi, rawatan penyakit jarang dan vaksin profilaktik.

CureVac bekerjasama dengan Paul-Ehrlich Institute – sebuah badan penyelidikan penyakit milik kementerian kesihatan Jerman.

Syarikat yang dilabur oleh Dietmar Hopp ini dikatakan sedang dalam proses mencipta vaksin COVID-19 yang akan siap sedia untuk diluluskan kerajaan dan diuji kepada manusia sekitar Julai 2020 nanti.

Siapa Dietmar Hopp?

Dietmar Hopp merupakan seorang jutawan (lebih kaya dari jutawan sebenarnya, beliau seorang billionaire) yang juga pengasas syarikat perisian komputer Jerman bernama SAP.

Selain memiliki SAP, Hopp juga memiliki firma pelaburan dan kebajikan dalam industri farmaseutikal. Salah satunya adalah CureVac.

Hopp sebenarnya dah lama menjadi figura yang dibenci oleh ramai peminat bola sepak Jerman selepas bertanggungjawab menjadi ‘sugar daddy’ pasukan yang disokongnya sejak kecil, TSG 1899 Hoffenheim pada tahun 2000.

Cinta Hopp kepada Hoffenheim sememangnya sudah terbukti. Ketika kecil, beliau pernah bermain di akademi Hoffenheim.

Hasil pelaburan Hopp, Hoffenheim yang pada mulanya bergelumang di arena bola sepak amatur Jerman naik sehingga ke dapat bersaing di Bundesliga dan UEFA Champions League. Dianggarkan nilai pelaburan Hopp di Hoffenheim mencecah sehingga €350 juta (RM1.6 bilion) dari tahun 2000 sehingga kini.

Pada Julai 2015, usahawan berusia 79 tahun ini mendapat pengecualian peraturan 50+1 yang dilaksanakan di liga bola sepak Jerman. Dalam peraturan 50+1, penyokong MESTI memiliki 50% syer kelab dan hak mengundi dalam kelab, dengan tambahan 1 unit syer.

Peraturan 50+1 ini dibuat supaya kelab bola sepak Jerman kekal dimiliki oleh penyokong mereka sendiri. Ia juga dibuat untuk mengelak pelabur luar membeli dan memiliki syer majoriti dalam kelab – tidak seperti yang berlaku di kebanyakan negara lain di Eropah.

Bagaimanapun peraturan 50+1 ini ada pengecualiannya.

Pengecualian boleh dibuat kepada pelabur-pelabur yang boleh menunjukkan yang mereka memang menyokong kelab tersebut secara konsisten untuk tempoh 20 tahun.

Pengecualian inilah yang membolehkan syarikat farmaseutikal Bayer memiliki Bayer Leverkusen, syarikat automotif Volkswagen memiliki Wolfsburg, syarikat minuman tenaga Red Bull memiliki RB Leipzig dan Dietmar Hopp memiliki Hoffenheim.

Dan ini juga menjadi sebab mengapa Hopp dibenci oleh ultras di Jerman.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Dietmar Hopp dan Hoffenheim:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN