Jose Mourinho mendakwa Manchester United kini sukar untuk mendapatkan pemain terbaik kerana sudah hilang kuasa dalam perpindahan pemain.
Walaupun Manchester United kelab terkaya di dunia, namun Mourinho merasakan Man. United tidak mampu untuk membuli pasukan lain dalam perpindahan pemain. Pada satu ketika dahulu Manchester United berjaya mendapatkan Michael Carrick dan Berbatov daripada Spurs. 2 pemain tersebut pemain terbaik pasukan mereka ketika itu.
Mourinho tidak menolak pasukan beliau berminat untuk mendapatkan pemain terbaik di Spurs namun usaha itu sangat sukar. Ini kerana pada hari ini agak mustahil untuk Man. United untuk mendapatkan pemain penting Spurs seperti Harry Kane, Deli Alli ataupun Christian Eriksen.
Bercakap dalam sidang media sebelum perlawanan menentang Southampton, Mourinho berkata: “Adakah Manchester United lebih besar daripada Tottenham dari aspek sejarah dan dimensi?”
“Bolehkah kamu membeli pemain terbaik Tottenham? Tidak, kerana mereka tidak menjual pemain mereka. Sudah tentu itu berlaku kerana mereka [kini] ada kuasa – jadi mereka boleh katakan tidak.”
“Beberapa tahun tahun lalu, siapa pemain yang Tottenham jual? Carrick [berjaya dibeli Man. United] – dan beberapa tahun selepas itu, siapakah pemain terbaik mereka? Berbatov [juga berjaya dibeli Man. United].”
“Sekarang, boleh tak kita membawa Harry Kane, Dele Alli, Eriksen, Son ke sini? Tidak. Jadi, siapa lebih berkuasa sekarang? Kita atau mereka?”
Pada pra-musim yang lalu, Man. United gagal mendapatkan Toby Alderweireld ke kelab mereka.
Mourinho sudah berbelanja £382.5 juta. Semetara itu Pep Guardiola sudah membelanjakan £525 juta untuk merombak skuad beliau. United kini berada di tangga ke-7, dibezakan 14 mata daripada Man. City. Jurang mata mereka dengan Fulham (tangga tercorot) adalah lebih dekat iaitu 13 mata.
Mourinho kemudian menyindir Man. City yang berbelanja melampau serta dikaitkan dengan salah laku Financial Fairplay. Menurut Mourinho, itu antara sebab kenapa Man. United tidak dapat menyaingi Man. City dalam pasaran perpindahan.
“Kenapa kami tak boleh bersaing dengan City [dalam perpindahan], saya tak boleh menjawabnya. Kerana salah satu daripada jawapannya ada pada berberapa minggu lalu,” Mourinho dengan jelas merujuk kepada isu FFP yang melanda Man. City.
“Namun bola sepak hari ini memang sudah berubah. Sangat sukar untuk membeli pemain yang sangat berkualiti. Jika dahulu, banyak kelab kecil yang merayu kepada kelab besar untuk membeli pemain mereka.”
“Mereka berkata: ‘Tolonglah beli pemain saya. Kamu kelab yang lebih berkuasa, tolong beli pemain terbaik kami’. Namun hari ini, mereka tak mahu menjual.”
Dalam sidang media yang sama Jose Mourinho menggambarkan kemungkinan besar tiada pembelian pemain pada Januari ini oleh Man. United.