Jose Mourinho menyifatkan ianya adalah satu penghormatan untuk berpeluang menguruskan salah sebuah kelab yang beliau pernah kendalikan sebelum ini – setelah bekas pengurus Manchester United yang dipecat pada Disember lalu itu dikaitkan dengan kepulangan ke Real Madrid dan juga Inter Milan.
Perkara tersebut tidak mustahil untuk berlaku jika situasi semasa di kedua-dua buah kelab di saingan domestik masing-masing diambil kira.
Pilihan di Bernabeu
Santiago Solari yang mengambol alih dari Julen Lopetegui pada November lalu sudah pun mengalami tekanan di Estadio Santiago Bernabeu -setelah beberapa siri keputusan kurang konsisten sejak kebelakangan ini.
Mourinho adalah pilihan kerana beliau meninggalkan Real Madrid, tetapi tetap mempunyai hubungan baik dengan presiden, Florentini Perez pada 2013.
Begitu juga situasinya di kelab Serie A, Inter Milan. Mourinho masih dianggap hero di San Siro setelah membawa kelab tersebut menjuarai gelaran treble pada 2010. Inter Milan juga masih gagal menyerlahkan potensi yang diharapkan sepanjang berada di bawah Luciano Spalletti – sejak 2017.
Enggan cakap banyak
Ketika bercakap kepada Correo Da Manha – sebuah tabloid yang berpengkalan di Portugal – Mourinho berkata beliau gembira kerana dikaitkan dengan dua kelab tersebut, namun enggan bercakap banyak mengenainya kerana masih tidak terikat dengan mana-mana kelab.
“Jika ada seorang profesional -pemain atau pengurus – diminta kembali untuk menyertai bekas kelab, itu bermakna anda telah melakukan sesuatu yang positif. Saya mempunyai perasaan yang sama apabila kembali ke Chelsea [pada 2013].
“Bagi seseorang profesional, ia adalah satu penghormatan. Kelab ini tidak akan mengambil individu lain yang mereka tidak kenali, tetapi memilih untuk mempercayai individu yang pernah berada di sana.
“Tetapi ketika saya tidak mengendalikan mana-mana pasukan [seperti sekarang], saya lebih suka kalau semua pihak tidak bercakap mengenai saya. Dan untuk itu berlaku, saya juga perlu berdiam.”
Tolak tawaran Benfica
Komen Mourinho tersebut dipercayai merujuk kepada laporan yang mengaitkan beliau dengan Benfica.
Kelab Portugal itu memecat Rui Vitoria pada munggu lalu, dan media negara tersebut melaporkan nama Mourinho adalah antara calon untuk mengambil alih jawatan pengurus di kelab tersebut.
Namun Mourinho secara terbuka menolak sebarang kemungkinan untuk beliau kembali bekerja di Portugal buat masa ini.
Ini mengundang spekulasi Real Madrid dan Inter Milan adalah antara dua destinasi pilihan buat pengurus yang sudah memiliki 25 kejuaraan utama sepanjang karier sebagai jurulatih itu.