Moura Cemerlang, Shaw Membanggakan, Antara 5 Perkara Daripada Kekalahan Man. United

Tottenham Hotspur meningkatkan lagi tekanan ke atas Mourinho dan Manchester United dengan kemenangan 0-3 di Old Trafford. Ini adalah kekalahan ke-2 Man United daripada 3 perlawanan pertama EPL musim ini.

Dalam perlawanan yang turut disaksikan Ed Woodward yang berada di dalam stadium, Man United menyenaraikan kembali beberapa nama pemain utama mereka termasuk, Valencia, Smalling, Jones, Lingard dan Matic.

1. Lucas Moura cemerlang

Pemain ini tidak banyak aksi pada musim pertama beliau. Namun musim ini beliau terus menjadi regular di dalam pasukan.

Beliau menjaringkan 2 gol dalam perlawanan ini dan melakukan beberapa siri ancaman dengan kepantasan dan kelicikan beliau.

Beliau menjadi pemain Spurs yang menjaringkan gol paling banyak di Old Trafford dalam 27 kunjungan terakhir mereka ke sini. Beliau melakukannya hanya dalam 1 malam dalam 2 percubaan gol sahaja.

2. Manchester United tumpul di depan gol

Masalah utama Man. United bukannya mereka bermain teruk ataupun tak kreatif tetapi isu penyudah. Ini mungkin gambaran terbaik untuk situasi Man. United:

Lukaku turut terlepas 1 peluang gol terbuka apabila gagal menyumbat masuk ke gawang yang sudah terbuka sebaik sahaja beliau melepasi Lloris.

United melakukan 25 percubaan ke arah gol dalam perlawanan ini. Spurs hanya 9. Namun jumlah percubaan tepat Man. United sama dengan Spurs iaitu 5. Pasukan lawan mereka pula menyempurnakan 3 daripada 5 percubaan tepat itu.

Mereka menguasai 57% daripada perlawanan ini. Namun lawan mereka lebih efektif di hadapan gol.

Ini antara pemain yang cemerlang bertahan malam tadi. Iya, beliau adalah pemain sasaran utama Man. United dalam perpindahan lalu, Toby Alderweireld.

3. Aksi Luke Shaw

Pemain ini wajar diberikan 1 slot khas untuk dihargai dalam artikel ini. Mourinho sendiri memuji Shaw adalah pemain yang terus berusaha dalam padang, membawa maruah kelab bersama beliau demi penyokong.

Mourinho sebelum ini agak kritikal ke atas pemain ini, namun kali ini beliau memuji aksi Shaw selepas pemain itu terus menunjukkan peningkatan dalam pasukan utama United.

Selepas perlawanan, Mourinho datang kepada Shaw dan menenangkan pemain tersebut yang jelas kecewa dengan kekalahan itu.

Shaw mencipta beberapa peluang gol dan hantaran penting ke dalam kota penalti untuk rakannya termasuk bola kepada Mata dan Lukaku.

4. Rekod buruk Mourinho

Ini adalah kekalahan paling teruk Jose Mourinho di gelanggang sendiri dalam semua kompetisi sebagai pengurus.

Manchester United kalah 2 daripada 3 perlawanan awal buat pertama kali selepas musim 1992/93, musim tersebut mereka menjuarai liga pada akhir musim.

Jarak 2 gol di antara gol pembukaan Kane dan Moura adalah yang kedua terpantas dihasilkan pasukan pelawat di Old Trafford dengan 133 saat. Yang terpantas adalah di antara Jelavic dan Pienaar pada 2012 dengan 112 saat.

Kekalahan ini meningkatkan lagi tekanan kepada Mourinho yang sering dikaitkan dengan sindrom musim ke-3.

5. Spurs bermula cemerlang

Spurs antara 4 pasukan yeng mencatatkan 3 kemenangan daripada 3 perlawanan liga setakat ini.

Mereka tidak berbelanja dalam jendela perpindahan tempoh hari. Namun tetap memulakan kempen liga dengan kuat.

Harry Kane tidak lagi terkena badi bulan Ogos. Beliau sudah menjaringkan gol EPL di 25 daripada 28 stadium lawan yang beliau kunjungi.

Hanya 3 stadium yang Kane gagal jaringkan gol dalam EPL setakat ini iaitu, Upton Park, Stadium of Light dan Cardiff City Stadium. Beliau berpeluang untuk melakukannya di Cardiff musim ini.

Leave a Reply