Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji reaksi pemain-pemainnya yang ketinggalan 1 gol ketika menentang Leicester untuk bangkit menang menerusi 2 gol Mohamed Salah. Klopp memanggil reaksi anak buahnya sebagai ‘paling terbaik pernah saya saksikan.”
Jamie Vardy – yang bertanggungjawab menjaringkan 7 daripada 9 gol Leicester ketika menentang Liverpool – sekali lagi menghantui pertahanan Liverpool apabila berjaya menyudahkan hantaran Riyad Mahrez seawal minit ke-3.
Bagaimanapun penjaring terbanyak Liverpool, Mohamed Salah menyamakan kedudukan 7 minit selepas separuh kedua bermula sebelum memberikan gol kemenangan – gol ke-17 peribadinya dalam Premier League – pada minit ke-76.
Dalam perlawanan ini, Liverpool menunjukkan dominasi yang tinggi. Bagaimanapun ketumpulan jentera serangan mereka terserlah juga – selepas pernah sekadar seri menentang West Brom dan Spartak Moscow pada musim ini.
Menentang unit defensif cemerlang Leicester yang dipimpin oleh Harry Maguire, Liverpool mempunyai banyak peluang yang disia-siakan. Salah sendiri bertanggungjawab mensia-siakan 4 peluang pada separuh masa pertama sebelum melakukan 2 penyudah klinikal pada separuh masa kedua.
Liverpool memerlukan 17 percubaan dengan 6 daripadanya tepat ke arah gol untuk mendapat kemenangan yang mereka hajati. Persembahan Dejan Lovren dan Joel matip juga tidak kurang bagusnya dalam perlawanan yang turut disaksikan oleh Virgil van Dijk.
Dengan kemenangan ini, ia bermakna Liverpool meneruskan rentetan tanpa kalah mereka kepada 15 perlawanan dan bakal menamatkan 2017 di tangga ke-4 liga. Klopp yang jelas gembira selepas perlawanan memanggil kemenangan semalam sebagai ‘hari yang sempurna’.
Bagaimanapun satu-satunya kerisauan Klopp dan penyokong Liverpool mungkin terletak kepada situasi kecederaan Salah yang terpaksa dikeluarkan ketika perlawanan hanya berbaki 10 minit.
“Kita kena periksa dahulu,” kata pengurus berbangsa Jerman tersebut mengenai situasi kecederaan Salah. “Sudah tentu ia merisaukan kami,” katanya lagi.
Statistik menarik Liverpool setakat ini
1. Liverpool telah menjaringkan 77 gol dalam 30 perlawanan setakat ini – paling tinggi setakat ini dalam sejarah kempen musim mereka .
2. Salah terlibat secara langsung dalam 22 gol Liverpool dari 21 perlawanan Premier League pada musim ini (17 gol dan 5 bantuan gol).
3. Dengan 23 gol yang dijaringkan oleh Salah pada musim ini dalam semua kejohanan, beliau telah menjaringkan lebih banyak gol daripada 8 kelab Premier League – Crystal Palace, Burnley, Brighton, Swansea, West Brom, Huddersfield, Southampton dan Newcastle.