Liverpool Sah Beli Virgil van Dijk Dengan Harga £75 Juta, Beri Gaji £180k Seminggu

Belum pun jendela perpindahan musim sejuk Premier League dibuka secara rasmi, Liverpool sudah merasmikannya dengan rekod perpindahan termahal di dunia bagi pertahanan dengan membeli – siapa lagi kalau bukan – Virgil van Dijk dari Southampton.

Dengan harga £75 juta yang dibayar oleh Liverpool, ia juga bermakna Liverpool telah memecahkan rekod perpindahan termahal kelab mereka. Rekod ini dipegang oleh Mohamed Salah sebelum ini yang dibeli pada harga £44 juta dari AS Roma.

Liverpool dilaporkan akan membayar yuran pendahuluan sebanyak £70 juta yang akan naik kepada £75 juta melalui klausa-klausa kontrak yang disertakan. Celtic, kelab lama van Dijk sebelum berhijrah ke Southampton, dijangka akan menerima sekitar £7-8 juta menerusi komisen jualan 10%.

Menurut sumber The Telegraph, Liverpool dan Southampton telah berbincang secara rahsia mengenai potensi membawa van Dijk ke Anfield dalam perjanjian yang bakal menyaksikan pertahanan Belanda ini meraih kontrak 5 tahun dengan gaji sebanyak £180,000 seminggu.

Van Dijk akan memakai jersi bernombor 4 yang sebelum ini dipakai oleh Kolo Toure. Antara pemakai jersi bernombor 4 paling ikonik di Liverpool adalah Sami Hyppia.

Pertahanan tengah berusia 26 tahun ini dijangka tidak sempat diturunkan dalam perlawanan Premier League menentang Burnley pada hari Isnin akan datang kerana kekangan masa pendaftaran pemain. Sebaliknya, penyokong Liverpool dijangka dapat menyaksikan debut van Dijk ketika pertemuan derbi Merseyside menentang Everton dalam pusingan ke-3 FA Cup.

Lagenda pertahanan Liverpool, Jamie Carragher memuji pembelian pantas Liverpool ini dengan menekankan kualiti van Dijk yang “lebih bagus di udara daripada saya, lebih pantas daripada saya dan lebih tenang memegang bola.”

Selain Liverpool, Manchester City turut dilaporkan berminat dengan van Dijk. Tetapi van Dijk nyata bukan calon utama mereka memandangkan perhatian mereka turut tertumpu kepada calon-calon lain seperti pertahanan Real Sociedad, Iñigo Martinez.

Dengan harga £75 juta juga, van Dijk kini merupakan pemain kedua termahal dalam sejarah Premier League, sama seperti Romelu Lukaku yang turut dijual dengan harga yuran perpindahan yang sama.

Paul Pogba yang dibeli oleh Manchester United dengan harga £90 juta kekal menjadi rekod perpindahan termahal Premier League.

Senarai pemain Southampton yang berhijrah ke Liverpool dalam masa 4 tahun lepas

1. Rickie Lambert

Berhijrah pada Jun 2014 (£4 juta) – Penyerang yang juga penyokong Liverpool sejak kecil ini berhijrah ke Anfield berikutan musim yang baik bersama The Saints. Tetapi hanya mampu menjaringkan 3 gol untuk Liverpool sebelum menyertai West Brom.

2. Adam Lallana

Berhijrah pada Julai 2014 (£25 juta) – Ramai peminat yang meragui motif Liverpool yang membayar yuran perpindahan mahal untuk Lallana pada ketika itu. Tetapi ia nyata pelaburan yang berbaloi (dan berjaya) terutamanya bagi Jurgen Klopp yang menggemari cara permainan Lallana.

3. Dejan Lovren

Berhijrah pada Julai 2014 (£20 juta) – Menampilkan persembahan yo-yo sejak berhijrah ke Liverpool. Kini dengan kehadiran van Dijk, tempat kesebelasan utama beliau bakal mendapat ancaman.

4. Nathaniel Clyne

Berhijrah pada Julai 2015 (£12.5 juta) – Nama tetap kesebelasan utama Liverpool ketika cergas. Tetapi bergelut untuk pulih dari kecederaan ketika ini.

5. Sadio Mane

Berhijrah pada Jun 2016 (£34 juta) – Sejak perpindahannya ke Liverpool, Mane telah dikenali sebagai salah seorang penyerang terbaik di Premier League.

6. Virgil van Dijk

Bakal berhijrah pada Januari 2018 (£75 juta) – Pertahanan Belanda ini bakal menjadi pertahanan termahal di dunia apabila menyertai Liverpool secara rasmi pada 1 Januari 2018 nanti.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN