MKN Tak Benarkan JDT Terbang Ke Doha Bagi Hadapi Saingan ACL

JDT

Selain daripada saingan TM Piala Malaysia yang terpaksa ditangguhkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut tidak membenarkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk terbang ke Doha, Qatar bagi menghadapi baki kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020.

Skuad gergasi bola sepak tanah air yang dibimbing oleh Benjamin Mora itu sebelum ini dijadualkan akan berlepas ke negara tuan rumah Piala Dunia 2022 tersebut pada minggu hadapan dan Harimau Selatan akan menghadapi empat perlawanan di Stadium Antarabangsa Khalifa.

JDT akan menentang Guangzhou Evergrande pada 19 November dan 4 Disember, manakala dua lagi aksi adalah bertemu Suwon Bluewings [25 November] serta Vissel Kobe [1 Disember].

Pengumuman tersebut dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian berhubung perkembangan terkini serangan wabak COVID-19 itu, sebentar tadi.

”Polisi kita sama, pintu sempadan kita masih ditutup. Maknanya daripada warga asing tidak dibenarkan masuk dan rakyat kita juga tidak dibenarkan keluar.”

”Polisi ini meliputi semua termasuk pasukan bola iaitu tidak membenarkan pergerakan yang ramai seperti ini ke luar negara dan kita tidak tahu SOP [Standard Prosedur Operasi] yang ada di luar negara tersebut.”

”Ada SOP atau tidak ada kita tak tahu. Jadi yang pertamanya kita tidak benarkan atas alasan ianya adalah kerana tertakluk kepada polisi sempadan negara ditutup iaitu rakyat kita tidak dibenarkan ke luar negara.”

”Semua tidak dibenarkan, menteri-menteri sekali pun sebenarnya yang mempunyai persidangan yang penting. Kementerian Pertahanan mempunyai persidangan yang banyak dan amat penting yang melibatkan kerjasama dua hala antara beberapa negara, latihan bersama, penetapan latihan bersama dengan beberapa negara tidak dapat dilakukan kerana menteri-menteri juga tidak dibenarkan untuk ke luar negara.”

”Jadi, dalam kes bola sepak ini kita juga tidak membenarkan [keluar negara], untuk menjamin keselematan pemain-pemain kita kalau mereka ke luar negara yang kita tak tahu bagaimana SOP yang ditetapkan oleh luar negara.”

”Tetapi yang pentingnya kerana SOP kita tidak membenarkan rakyat kita ke luar negara. Jadi, untuk pasukan kita ke Doha, kita tidak benarkan,” ujar Ismail Sabri.

Kredit featured image: The Asahi Shimbun via Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai pembabitan JDT dalam saingan ACL:

Previu ACL 2020: Adam Taggart Ancaman Utama JDT

ACL 2020: Vissel Kobe Terlalu Gah Buat JDT

ACL 2020: JDT Cemerlang Tundukkan Suwon Di Laman Sendiri

Leave a Reply