Previu ACL 2020: Adam Taggart Ancaman Utama JDT

Penyerang Suwon Samsung Bluewings, Adam Taggart perlu diberikan kawalan rapi oleh pertahanan JDT menjelang perlawanan kedua kumpulan G jika persembahan semasa Piala Sumbangsih 2020 lepas menjadi ukuran.

JDT yang menewaskan Kedah 1-0 untuk menjulang Piala Sumbangsih kelima dalam masa enam tahun, kelihatan jauh dari prestasi 100% mereka. Kpah Sherman dan Kipre Tchetche beberapa kali memberi masalah kepada gandingan Mauricio – Aidil Zafuan (kemudian diganti oleh Fadhli Shas).

Hanya selepas gol Mauricio pada hujung separuh masa pertama, barulah JDT nampak berjaya mengawal duo penyerang Kedah itu.

Tetapi menentang Suwon Samsung Bluewings di Stadium Sultan Ibrahim pada malam ini, JDT perlu melupakan kemenangan Kedah. Mereka juga perlu melupakan kekalahan 1-5 ketika perlawanan kumpulan pertama menentang Vissel Kobe pada 12 Februari lepas.

Dalam perlawanan kedua kumpulan G AFC Champions League 2020 ini, JDT dan Suwon perlu bermula dengan buku baru.

Seperti JDT, Suwon juga tewas kepada Vissel Kobe 0-1 di halaman sendiri pada 19 Februari lepas.

Dari segi rekod pula, JDT tewas lima daripada tujuh perlawanan dalam AFC Champions League. Suwon pula tewas tiga daripada empat perlawanan Champions League terakhir mereka.

Kali terakhir JDT menentang pasukan K-League di halaman sendiri adalah pada edisi tahun lepas. Perlawanan tersebut memberi detik manis kepada penyokong JDT selepas gol penalti Diogo pada minit ke-68 membolehkan Harimau Selatan mengutip mata pertama mereka di AFC Champions League.

Siapa Suwon Samsung Bluewings?

Kempen K-League 1 tahun lepas pastinya mengecewakan penyokong Suwon di sebalik hakikat pasukan mereka mempunyai pemain berkualiti seperti penyerang skuad kebangsaan Australia, Adam Taggart (gambar bawah).

(Foto: FB Suwon Samsung Bluewings)

Penyerang berusia 23 tahun ini bertanggungjawab mengheret pasukannya keluar dari zon penyingkiran liga apabila menjaringkan 20 gol daripada 33 penampilan.

Suwon layak ke Champions League selepas menjuarai Piala FA Korea. Sepanjang perjalanan mereka menjulang Piala FA, mereka hanya menewaskan satu sahaja pasukan dari K-League 1.

Menduduki tangga ke-8 liga pada tahun lepas, Suwon perlu menyalahkan konsistensi dan prestasi buruk bos mereka, Lee Lim-saeng yang ditekan teruk oleh penyokong. Suwon bangkit pada April sebelum mencatat empat kemenangan berturut-turut pada Julai.

Tetapi dengan hanya dua kemenangan daripada 10 perlawanan seterusnya, Suwon terjerumus ke lembah penyingkiran sebelum separuh masa kedua liga.

Pemain baru Suwon

Suwon membawa masuk tiga pemain baru untuk musim 2020: Doneil Henry, Sulejman Krpic dan Kim Min-woo.

Doneil Henry (gambar bawah) merupakan pertahanan tengah Kanada yang dibawa masuk dari Vancouver Whitecaps. Ketika menentang Vissel Kobe, beliau beraksi baik dan nampak sukar ditembusi. Tugas berat bakal menanti Diogo malam ini.

(Foto: FB Suwon Samsung Bluewings)

Sulejman Krpic pula tiba di Suwon selepas menajringkan 12 gol dalam 18 perlawanan untuk Zeljeznicar di liga Bosnia. Penyerang Bosnia ini kerap berhijrah ke sana ke mari di Eropah, termasuk pernah bermain di liga Iran, tetapi hanya persembahannya di liga Bosnia yang boleh dikatakan ‘berjaya’.

Selepas tamat servis militari (bermain untuk Sangju Sangmu), Kim Min-woo menyertai Suwon untuk menjadi pasangan penyerang pilihan pertama Taggart. Bekas penyerang kelab J1 League, Sagan Tosu ini tidak pernah menjaringkan lebih daripada 10 gol sepanjang kariernya.

Bahaya Adam Taggart

Bekas penyerang Brisbane Roar ini bakal menjadi pemain Suwon paling penting pada malam ini dan secara umumnya pada tahun ini. Keserasiannya dengan rakan sepasukan senegara, Terry Antonis bakal menjadi aset utama Suwon.

Mahir melepaskan diri dari perangkap ofsaid dan kawalan ketat pertahanan adalah aset utama bekas penyerang yang pernah berkelana di Fulham ini. Dijangkakan Mauricio akan diberi tugas man-marking terhadap Taggart.

Jadi adalah penting bagi pasangan Mauricio untuk berada pada tahap terbaik untuk membantu mengawal Taggart dan pemain bahaya lain seperti Yeon Ki-hun dan Kim Min-woo.

Leave a Reply