10 Pemain Termuda Beraksi Untuk Skuad Senior England

Seandainya Jude Bellingham terpilih untuk diturunkan dalam perlawanan England menentang Belgium atau Austria pada minggu ini, beliau akan menjadi pemain ketiga paling muda membuat debut bersama pasukan tersebut.

Jadi ini adalah senaraikan 10 orang pemain termuda yang membuat penampilan bersama skuad Three Lions.

10. Jack Wilshere (18 tahun 7 bulan 10 hari)

Namanya mula menjadi sebutan apabila beraksi untuk skuad utama Arsenal seawal berusia 16 tahun. Aksi cemerlangnya telah menarik Sven Goran Eriksson untuk menyenaraikannya bersama skuad kebangsaan.

Debutnya hadir ketika aksi menentang Hungary pada 11 Ogos 2010, masuk menggantikan Steven Gerrard pada lewat permainan.

Sekalipun dicanang sebagai ‘Pirlo England’ di awal kariernya, namun masalah kecederaan berulang telah menjadikan beliau kini tanpa sebarang kelab walaupun baru berusia 28 tahun.

9. Marcus Rashford (18 tahun 6 bulan 26 hari)

Selepas membuat debut bersama Manchester United pada Februari 2016 yang mengkagumkan seluruh dunia, beliau telah menerima panggilan untuk mewakili skuad senior England hanya tiga bulan kemudian.

Sekalipun tidak menjadi pemain termuda membuat penampilan bersama Three Lions, namun beliau berjaya muncul pemain termuda yang menjaringkan gol dalam penampilan pertama ketika berdepan Australia pada 27 Mei 2016.

8. Jadon Sancho (18 tahun 6 bulan 17 hari)

Nama pemain ini cukup mekar selepas berjaya mencipta fenomena bersama Borussia Dortmund dan Gareth Southgate mula menyenaraikannya buat kali pertama pada Oktober 2018.

Debutnya bersama England hadir pada 12 Oktober 2018 masuk menggantikan Raheem Sterling ketika perlawanan Liga Negara-Negara Eropah (UNL) di mana England seri 0-0 dengan Croatia.

7. Duncan Edwards (18 tahun 6 bulan 2 hari)

Beliau adalah satu-satunya pemain dari zaman ‘klasik’ yang masuk di dalam senarai ini di mana debut pemain Manchester United ini adalah pada tahun 1955 ketika England menang besar 7-2 ke atas Scotland.

Malangnya umur pemain muda berbakat ini tidak panjang selepas terlibat dengan tragedi kapal terbang terhempas di Munich ketika baru berusia 21 tahun.

6. Micah Richards (18 tahun 4 bulan 22 hari)

Bekas pemain pertahanan Manchester City ini membuat debut pada November 2006 ketika England terikat 1-1 dengan Belanda dan menjadi pemain pertahanan termuda membuat penampilan bersama Three Lions mengatasi rekod Rio Ferdinand.

Selepas mengumpul 28 kaps bersama skuad kebangsaan, karier Richards semakin tenggelam ditambah dengan masalah kecederaan lutut dan membuat kejutan apabila mengumumkan persaraannya ketika baru berusia 30 tahun.

5. Callum Hudson-Odoi (18 tahun 4 bulan 15 hari)

Agak mengejutkan buat mana-mana pemain apabila berjaya membuat penampilan bersama skuad senior England sebelum beraksi dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Namun Southgate mengambil kira aksi cemerlangnya dalam Liga Europa (UEL) bersama Chelsea dan menurunkannya sebagai pemain gantian ketika menang 5-0 ke atas Republik Czech dalam saingan UNL.

4. Michael Owen (18 tahun 1 bulan 28 hari)

Selepas mempamerkan kehebatannya bersama Liverpool, Glenn Hoddle menurunkannya dalam perlawanan persahabatan menentang Chile dan England tewas 2-0 dalam perlawanan tersebut.

Impak popularitinya membolehkan beliau menyertai skuad Piala Dunia 1998 dan jaringan pertamanya untuk skuad kebangsaan muncul ketika aksi persahabatan pra-Piala Dunia berdepan Maghribi menjadikan beliau penjaring gol termuda England sebelum rekod tersebut dipecahkan lima tahun kemudian.

3. Raheem Sterling (17 tahun 11 bulan 6 hari)

Debutnya bersama skuad kebangsaan mungkin mudah untuk diingati kerana dalam perlawanan terebut penyerang sensasi Sweden Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol akrobatik dari jarak jauh dan England tewas 4-2.

Dalam perlawanan tersebut Roy Hodgson turun memberikan perluang kepada beberapa pemain muda lain untuk membuat penampilan pertama bersama England seperti Steven Caulker, Leon Osman, Ryan Shawcross, Carl Jenkinson dan Wilfried Zaha.

2. Wayne Rooney (17 tahun 3 bulan 19 hari)

Perjalanan cemerlang legenda Manchester United ini bersama England bermula pada Februari 2003 di mana beliau masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa ketika tewas 3-1 kepada Australia.

Beliau masih kekal sebagai penjaring gol termuda untuk England apabila meledak gol ketika berdepan Macedonia sebulan sebelum usianya menginjak 18 tahun.

1. Theo Walcott (17 tahun 2 bulan 14 hari)

Beliau telah membuktikan keupayaannya ketika bersama Southampton sebelum diikat oleh Arsenal pada Januari 2006.

Walaupun belum membuat sebarang penampilan untuk skuad The Gunners, beliau telah pun dipanggil menyertai skuad senior England untuk kejohanan Piala Dunia 2006 di bawah kendalian Eriksson.

Penampilan pertamanya hadir pada perlawanan persahabatan berdepan Hungary di Old Trafford pada 30 Mei 2006. Namun beliau tidak diturunkan langsung dalam mana-mana perlawanan dalam kejohanan tersebut.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak Inggeris:

Jude Bellingham Terima Panggilan Pertama Sertai Skuad Senior England

Jack Wilshere: Prospek Masa Depan England Kini Sekadar Penganggur Terhormat

Inilah ‘Squad Depth’ England Yang Buat Southgate ‘Pening’ Pilih Pemain Terbaik

Leave a Reply