Quantcast

BERITA

Misi Balas Dendam Harimau Malaya Di Hanoi

Kekalahan pada final Piala AFF 2018 kepada Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi hingga kini masih dirasai skuad Harimau Malaya namun kedatangan semula kali ini membawa dua misi utama iaitu membawa pulang tiga mata dan membalas dendam.

Perkara itu dilaungkan sendiri Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang tiba di Hanoi, hari ini selepas hadir menyaksikan sesi latihan skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe di VFF Youth Training Centre, sebentar tadi.

Kehadiran Datuk Haji Hamidin sudah tentu membakar semangat para pemain Harimau Malaya apabila beliau melaungkan misi untuk membalas dendam ke atas Vietnam yang telah menewaskan Malaysia pada Final Piala Suzuki AFF 2018.

“Saya telah menemui para pemain dan menyatakan kepada mereka bahawa kita perlu menang perlawanan menentang Vietnam, Khamis ini bagi memastikan misi untuk kita layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 terus pada landasan yang betul.

“Selain itu, kita juga datang ke Hanoi kali ini dengan misi untuk membalas dendam kekalahan kita kepada Vietnam pada Final Piala Suzuki AFF 2018 di stadium yang sama, kira-kira 10 bulan yang lalu.

“Dengan skuad terbaik yang kita ada ini, saya berkeyakinan tinggi untuk skuad Harimau Malaya membawa pulang tiga mata penuh kali ini dan sudah tentu ia akan dapat juga memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Ranking FIFA,” kata selepas sesi latihan skuad negara.

Tahun lalu, Malaysia dikecewakan Vietnam di pentas final AFF 0-1 dalam aksi final kedua selepas terikat 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Turut sama, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi selaku pengurus pasukan serta Dato Posa Majais, penolong pengurus pasukan.