Quantcast

BERITA

Kelayakan Piala Dunia 2022: Norshahrul Idam Ledak Jaringan

Penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha melaungkan amaran mahu menamatkan kemarau jaringan dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menjelang aksi berdepan Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi pada Khamis ini.

Norshahrul yang mesra dengan panggilan Matyo kembali membuka akaun jaringan ketika melakar kemenangan 6-0 ke atas Sri Lanka dalam aksi persahabatan Sabtu lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyaksikan buat pertama kali skuad kendalian Tan Cheng Hoe tidak dibolosi.

Bagaimanapun, meledakkan gol bukan menjadi keutamaan Matyo sebaliknya kemenangan dan membawa pulang tiga mata lebih penting buat pasukan Harimau Malaya.

“Alhamdullilah kembali menjaringkan gol dan setiap kali diturunkan sudah pasti saya mahu menjalankan tugas dengan baik sebagai penyerang.

“Tapi sesiapa sahaja buat gol saya tidak kisah kerana kemenangan pasukan lebih penting dan harap kita meraih keputusan positif di sini.

“Jika barisan pemain dapat bersatu hati dan memberikan fokus sepenuhnya, maka tidak mustahil untuk kita mengejut lawan di laman mereka sendiri,” katanya ketika ditemui di sesi latihan skuad negara.

Mengulas mengenai kekuatan pasukan lawan yang turut dikuatkan dengan pertahanan Vietnam berpangkalan di Eropah, Doan Van, Matyo melihat perkara itu bukan satu masalah untuk barisan serangan negara.

“Itu bukan sesuatu yang perlu kita fikirkan kerana paling penting kita bermain mengikut taktikal jurulatih (Tan Cheng Hoe) dan semua pemain memberi persembahan lebih daripada 100 peratus.

” Jika saya diturunkan dalam kesebelasan utama, sudah pasti saya mahu beri aksi terbaik dan cuba sedaya upaya menjaringkan gol,” ujarnya.

Selain Van Hau yang beraksi di Liga Belanda bersama Heerenveen SC, skuad Naga Emas turut memiliki seorang pemain yang beraksi di pentas Liga Belgium, Sint-Truidens iaitu penyerang, Nguyen Cong Phuong.

Pertemuan Harimau Malaya menentang Vietnam menyaksikan perlawanan ulangan final Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 yang dimenangi oleh pasukan Naga Emas itu dengan keputusan agregat 3-2.