Penyerang import baharu Kedah Darul Aman (Kedah) iaitu Milos Gordic jelas mempunyai visi tersendiri bersama pasukan baharunya itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.
Milos menjadi antara rekrut baharu ditandatangani Sang Kenari pada musim ini untuk memperkukuhkan aspek serangan mereka selain beberapa lagi nama pemain lain di posisi tersebut.
Walaupun begitu, statistik lalu pemain tersebut menimbulkan sedikit keraguan dalam kalangan peminat Kedah selepas beliau tampil dengan rekod jaringan kurang menyakinkan pada musim-musim lalu.
Untuk menafikan rekod tersebut, Milos tampil menyatakan dirinya sedia menjadi peledak berbisa buat Kedah pada musim walaupun ia menjadi tahun pertama buat beliau di Asia Tenggara.
Malah, penyerang dari Serbia itu juga menyatakan beliau sudah pun membuat persiapan rapi sebelum tiba di Malaysia untuk tampil lebih bersedia bersama Sang Kenari.
“Saya berazam menjadi penyerang yang dapat menyumbangkan gol pada musim baharu ini dan mengelak dari menjadi penyerang yang kurang menyengat seterusnya mengecewakan penyokong. Ini yang saya cuba elakkan.
“Selepas memulakan latihan penuh bersama pasukan, saya berharap sentuhan saya dapat terus di tajamkan dalam usaha membantu Kedah memberi saingan terbaik dan mencapai sasarannya musim ini,” kata beliau menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, Milos jelas mahu memberi fokus terbaik demi menyesuaikan diri bersama pasukan serta mengekalkan tahap kecergasan terbaik sebelum saingab Liga Malaysia bermula.
“Selain itu, dengan harapan tinggi yang diletakkan oleh penyokong Kedah pada musim ini, ia memberi semangat tambahan buat saya untuk membuktikan kemampuan,” kata Milos akhir sekali.
Untuk rekod, Milos beraksi dalam saingan divisyen kedua di China sebelum itu bersama Wuxi Wugo serta merekodkan empat gol dan empat bantuan jaringan daripada 16 penampilan secara keseluruhan.
Pemain berusia 31 tahun itu juga turut mewakili beberapa lagi kelab sepanjang karier beliau dan Kedah menjadi pasukan pertama buat Milos di Asia Tenggara pada musim ini.
Secara keseluruhan, statistik menunjukkan pemain dari Serbia ini sudah pun mewakili 10 pasukan tidak termasuk Kedah dan sudah pun merekodkan 131 penampilan bersama 31 gol dan 10 bantuan jaringan.
Pastinya rekod tersebut ingin diperbaiki bersama Kedah musim ini, apatah lagi Sang Kenari juga turut mendapatkan beberapa lagi pemain serangan lain untuk membantu persiapan Nafuzi bagu menjadikan kelab itu lebih baik.