Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tanpa berselindung mengakui dirinya bertanggungjawab berikutan prestasi buruk yang sedang dialami skuad bimbingannya pada ketika ini sehingga menyebabkan The Gunners terjerumus ke tangga ke-15 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21.
Tekanan memuncak yang dirasai bagaimanapun sedikit reda apabila Arsenal berjaya menundukkan Chelsea pada pertemuan tempoh hari di Emirates Stadium bagi menamatkan kemarau kemenangan pada tujuh perlawanan sebelum ini.
Berikutan aksi dan keputusan hambar dicatatkan, Arteta mendedahkan beliau turut menderita dengan apa yang telah dihadapi pasukannya di mana Arsenal hanya enam mata dipisahkan dengan zon penyingkiran.
”Sejak saya tiba di sini, perkara pertama yang saya lakukan ialah menganalisis dengan baik apa yang sedang berlaku dalam pasukan, apa yang kami boleh atau tidak boleh lakukan.”
”Jelas dalam beberapa minggu kebelakangan ini kami semua menderita, saya juga turut merasainya. Saya berasa cukup bertanggungjawab dengan keadaan ini.”
” Perasaan terburuk ketika ini kerana saya mahu melakukan yang terbaik buat kelab ini dan pada masa ini, saya mahu mencurahkan segala semangat dan ilmu yang saya ada dengan niat tepat untuk menggerakkan pasukan ini ke situasi lebih baik.”
”Untuk melakukannya, kami perlu untuk memenangi perlawanan, untuk menjadi lebih stabil dan menang pada beberapa waktu. Jika tidak, saya merasakan seperti membiarkan kelab ini dan orang-orang yang bekerja dengan kami terutamanya penyokong kami kecewa.”
”Ia mengecewakan dan menyakitkan. Pada masa saya saya tahu kami perlu untuk kembali bangkit,” ujar Arteta menurut laporan Goal.
Arsenal berpeluang untuk terus memperbaiki kedudukan apabila bakal berkunjung ke Amex Stadium bagi berdepan Brighton, awal pagi esok dalam misi mencatatkan kemenangan kedua berturut-turut.
Kredit featured image: Clive Brunskill/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Mikel Arteta:
2 Pemain Yang Perlu Arteta Beli Januari Ini Untuk Pulihkan Arsenal
Mikel Arteta: Tundukkan Chelsea Bakal Jadi Ubat Terbaik Buat Kami
Selepas Arsenal Teruk Dibelasah City, Guardiola Kata Silap Besar Jika Arteta Dipecat