Tinggal Di Rawang Tapi Bagai Nak Gila Sokong Liverpool

Liverpool Malaysia

Sudah menjadi kebiasaan untuk mana-mana peminat sukan bola sepak di seluruh dunia untuk menyokong atau memuja pasukan-pasukan Eropah kegemaran mereka seperti Liverpool, Manchester United, Real Madrid, Barcelona, Juventus dan sebagainya.

Namun apa yang mendukacitakan adalah sokongan tidak berbelah bahagi itu tidak pula dicurahkan kepada pasukan tempatan di mana mereka dilahirkan atau tempat mereka tinggal.

Dalam satu temubual bersama Bernama, ketua jurulatih Kuala Lumpur Youth Soccer (KLYS) Luis Pablo Pozzuto menyarankan agar peminat bola sepak di negara ini agar tidak terlalu mengangkat pasukan-pasukan di luar negara seperti kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga atau Serie A.

Bagi bekas penyerang import pasukan Pulau Pinang dari Argentina itu, tindakan tersebut tanpa disedari telah mengabaikan pembangunan liga tempatan terutamanya di peringkat akar umbi.

Pozzuto boleh dianggap sebagai seorang yang sangat memahami senario dalam sukan bola sepak Malaysia kerana beliau telah 18 tahun menetap di negara ini sejak menamatkan kariernya sebagai pemain import pasukan Pulau Pinang pada tahun 2003.

Baginya untuk membolehkan sukan bola sepak di negara ini terus meningkat adalah dengan cara peminat menunjukkan sokongan padu dan berterusan kepada pasukan dan pemain tempatan.

Antaranya dengan menonton perlawanan-perlawanan melibatkan pasukan kegeramaran mereka bukan sahaja dalam saingan Liga Super atau Liga Premier, tetapi juga liga-liga kecil seperti Liga M3 mahupun liga di peringkat negeri atau komuniti.

“Pembangunan mengambil masa, namun kita perlu terlebih dahulu mengubah mentaliti daripada terlalu banyak menonton Liga Inggeris kepada menyaksikan perlawanan bola sepak tempatan,” ujar jurulatih berusia 53 tahun itu.

“Di Argentina, mereka juga menonton EPL, namun jika ada pasukan divisyen dua (dari Argentina) bermain pada masa yang sama, mereka akan menonton perlawanan divisyen dua itu.

“Anda tinggal di KL, tapi kenapa anda lebih sukakan (kelab) Liverpool? Media juga perlu mempromosikan aksi bola sepak tempatan dan menggalakkan masyarakat menonton perlawanan di stadium,” katanya lagi.

Tambah Pozzuto lagi, tindakan peminat bola sepak yang sering meletakkan beban kesalahan di atas bahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan menyelesaikan masalah kerana usaha untuk membantu sistem pembangunan dan pencarian bakat bukan semata-mata tugas badan induk tersebut.

Baginya semua pihak termasuklah peminat-peminat bola sepak tempatan perlu memainkan peranan yang penting untuk menggalakkan anak-anak mereka menyertai program-program di peringkat akar umbi.

“Secara purata, kanak-kanak lelaki di Malaysia memulakan latihan bola sepak secara serius pada usia 15 tahun, (sedangkan) saya bermain dalam divisyen pertama ketika berumur 16 tahun. Pada masa sekarang, kita perlu mula melatih mereka seawal usia tiga atau empat tahun.

“Untuk menjadi seorang doktor, anda perlu belajar dari peringkat sekolah rendah, menengah hingga universiti. Begitu juga dengan bola sepak, kita perlu ada (pasukan) bawah 9, 12, 15 dan 19 tahun,” katanya lagi.

Beliau turut hairan mengapa ramai penyokong bola sepak tempatan yang mempersoalkan kenapa banyak pasukan-pasukan utama gagal untuk menjelaskan gaji pemain sedangkan mereka sendiri tidak memberikan sokongan yang sepatutnya.

Contohnya adalah dengan hadir menonton perlawanan di stadium atau membeli jersi yang dapat membantu kewangan pasukan sedikit sebanyak dan ia juga boleh disalurkan untuk pelan pembangunan pemain pelapis.

“Mungkin kejayaan tidak akan dikecapi dalam sekelip mata, tetapi jika kita berjaya menghasilkan seorang pemain berkualiti, dia boleh dijual kepada pasukan luar, kemudian gunakan wang itu untuk pembangunan. Jika anda tidak melabur, sistem ini tidak akan berjalan.

“Inilah yang dilakukan oleh negara-negara seperti Argentina dan Brazil. Saya tidak nampak perkara itu berlaku di sini. Hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) sahaja yang berbuat demikian tapi mereka hendak bersaing dengan siapa jika pasukan lain tidak ada pasukan remaja? Setiap kelab perlu ada pasukan remaja.”

Pozzuto pernah menerima bimbingan legenda bola sepak dunia iaitu mendiang Diego Maradona ketika beaksi bersama pasukan Liga Premier Argentina,  Deportivo Mandiyu pada tahun 1994.

Walaupun beliau merupakan ‘orang luar’ namun apa yang diluahkan olehnya nampak ada benarnya kerana sebahagian peminat tegar pasukan EPL di negara di dilihat ‘separuh mati’ menyokong kelab mereka sehingga boleh menimbulkan pertelagahan antara satu sama lain.

Tetapi sebahagiannya sama sekali tidak pernah mengambil tahu atau mempedulikan perkembangan pasukan bola sepak tempatan. Sedangkan jelas dalam surat beranaknya tertera lahir di Hospital Sungai Buloh, bukannya Hospital Liverpool.

Kredit Foto: Liverpool FC

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

RASMI: 3 Perkara Tentang Pemain Baharu Terengganu FC, Carli de Murga

RASMI: Petrus Shitembi Sertai Terengganu FC, Kenapa Digelar ‘Dancing Shoes’?

4 Perkara Di Sebalik Pembelian Syahrian Abimanyu Oleh JDT

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN