Chelsea dikatakan akan cuba mengelak untuk membayar penuh pampasan £9 juta yang harus dibayar kepada Antonio Conte kerana penamatan kontrak jurulatih tersebut.
Ini kerana Chelsea mendakwa Conte harus bertanggungjawab di atas kerugian (damage) yang beliau lakukan dalam perpindahan Digeo Costa.
Tindakan Conte menghantar mesej dengan telefon pintar kepada Costa dianggap telah merosakkan nilai Costa di pasaran perpindahan pada 12 bulan yang lalu.
Conte patut mencari cara lebih baik dalam mengendalikan isu itu. Kesannya Chelsea hilang berjuta-juta pound sterling daripada potensi nilai Costa.
SemalamThe Times mendedahkan bahawa Conte mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas kelabnya selepas dipecat minggu lalu.
Pengendali dari Itali itu mendakwa bahawa kelewatan dalam menyelesaikan masa depannya menyebabkan dia tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan yang menguntungkan di tempat lain musim panas ini.
Sementara itu, Chelsea masih belum menandatangani beberapa dokumen yang berkaitan pakej bonus dalam pemecatan. Chelsea sebelum ini sangat cepat menyelesaikan isu itu dan ada pengurus dibayar dengan jumlah sangat besar.
Chelsea pernah menawarkan Mourinho pakej bonus tambahan berjuta pound sterling jika pengurus itu tidak mengendalikan mana-mana pasukan dalam masa setahun daripada pemecatan.
Dan pengendali itu mendapat bonus itu sebelum menerima jawatan di Inter Milan selepas itu.
Dalam kes Antonio Conte pula, Chelsea akan menggunakan pasukan guaman dan undang-undang mereka dalam tuntutan kerugian di atas tindakan Conte memberitahu Costa bahawa dia tidak dikehendaki musim panas lalu.
Tindakan Conte itu adalah salah satu salah laku, menurut Chelsea lagi. Ramai pemerhati bola sepak juga tidak selesa dengan tindakan Conte yang dianggap tidak profesional.
Antara ayat dalam teks beliau adalah:
“Hi Diego, Terima kasih, tetapi anda tidak berada dalam rancangan saya.”
Kesannya selepas itu pemain tersebut Costa tidak mahu pulang ke kem pra-musim mengikut jadual dan Antonio Conte memperlekehkan kenyataan Costa yang menganggap Conte melayannya seperti penjenayah.
Costa kemudian tidak mahu pulang ke Chelsea (AWOL) dan menghabiskan cuti musim panas di Brazil. Beliau kemudian meminta Chelsea menerima sebarang tawaran daripada Atletico.
Chelsea mendenda Costa kerana tidak melapor diri kepada kelab seperti jadual ditetapkan.
Ketika itu Atletico hanya mahu membayar angka kurang £30 juta. Namun selepas beberapa siri perbicangan barulah Atletico setuju membayar pakej yang mencecah sehingga £57 juta untuk pemain tersebut.
Dengan trend harga pada jendela perpindahan, Chelsea merasakan mereka patut mendapat lebih banyak lagi untuk Costa kerana pemain itu ketika itu dalam prestasi terbaik dan membantu Chelsea menjuarai EPL.
Conte mempertahankan dirinya ketika itu dan menyatakan Costa telah 3 kali meminta daripadanya untuk dilepaskan pada perpindahan pertengahan musim dengan China menjadi destinasi yang beliau mahukan.
Costa kemudiannya diarahkan untuk berlatih berseorangan sebagai hukuman di atas tindakan beliau.
Conte turut mendakwa Costa menghamburkan kata-kata provokasi kepada beliau dan itulah sebab kenapa beliau menghantar teks tersebut. Conte menyatakan teks itu dihantar beberapa bulan sebelum musim berakhir.