Bekas penyerang Harimau Muda, Jafri Firdaus Chew dilihat beraksi di posisi bek kanan bersama Penang FC dalam dua aksi – bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC. Ia menimbulkan satu persoalan.
Mengapa Penang ambil keputusan untuk menukar posisi Jafri ketika itu?
Dalam artikel sebelum ini, Semuanya BOLA mengatakan yang Penang seperti ‘buang’ perlawanan ketika berdepan JDT apabila meletakkan Jafri sebagai bek kanan. Tentunya semua merasakan begitu apabila seorang yang dikenali sedari remajanya sebagai penyerang bertukar posisi secara tiba-tiba ke posisi pertahanan. Apa punca dan natijahnya kepada Penang?
Ia berlaku saat berdepan JDT di separuh akhir Piala FA. Ia satu percaturan yang amat berani oleh pengendali pasukan, Dato’ Zainal Abidin Hassan.
Seperti Mahu ‘Buang’ Perlawanan, Penang Letak Penyerang Sebagai Bek Kanan Berdepan JDT
“Ia adalah hasil perbincangan bersama” – Zainal
Berdasarkan pengamatan, pilihan utama, Fairuz Zakaria berada di bangku simpanan. Oleh itu, jelas yang Penang seperti memperjudikan nasib mereka dengan meletakkan Jafri sebagai pertahanan dalam perlawanan penting.
Tidak salah untuk mengubah posisi seseorang pemain, cuma adakah masa itu sesuai atau sebaliknya? Ini yang bermain ligat di fikiran para penyokong.
Menurut penjelasan Zainal dalam sesi sidang media sebelum ini, perubahan tersebut adalah hasil perbincangan bersama barisan kejurulatihan pasukan.
“Saya memang ubah dan latih beliau untuk jadi seorang pertahanan dan telah berbincang dengan staf teknikal dan pemain itu sendiri. Saya rasa beliau salah seorang pemain terbaik untuk Penang malam ini. Bermain di posisi yang baru beliau sudah tunjukkan kepercayaan kepada saya untuk terus meletakkannya di situ.”
Dan sekali lagi Jafri telah bermain di posisi itu dalam perlawanan berdepan Negeri Sembilan – Penang tewas 2-3 selepas tumbang 1-6 kepada JDT.
Adakah Jafri gagal dalam transformasinya daripada seorang penyerang kepada pertahanan sisi? Beliau tiada masalah untuk bermain di sebelah sisi kerana beliau sudah biasa bermain sebagai pemain sayap menyerang.
Cuma daripada seorang yang bernaluri serangan bertukar kepada bertahan, mungkin ia memerlukan sedikit masa untuk beliau menyesuaikan dirinya.
Bolos 9 gol dalam 2 perlawanan, adakah salah Jafri?
Untuk meletakkan kesalahan ke atas bahu Jafri seorang, mungkin agak keterlaluan. Berdasarkan pemerhatian sembilan gol yang dibolosi Harimau Kumbang dalam dua perlawanan, ia adalah masalah kombinasi bersama.
Mungkin ini kali pertama kombinasi mereka dicuba. Tentunya ia adalah masalah dalam membentuknya. Daripada sembilan gol yang dibolosi sepanjang keterlibatannya di posisi bek kanan, hanya beberapa kali ia disebabkan kawalannya yang longgar dan terdapat juga masalah kombinasi di benteng yang memberi kesan hingga Harimau Kumbang dibolosi lawan.
Penang juga mengalami masalah di posisi bek tengah terutamanya pemain import, Christian Rontini yang dilihat kurang memberi impak tidak seperti Ryuji Utomo pada musim lalu. Bek kiri pula kini diterajui oleh Adib Raop.
Bambang Pamungkas Sahkan Persija Akan Panggil Pulang Ryuji Utomo
Kita tahu, Adib adalah pemain sayap menyerang yang ditransformasikan sebagai bek kiri sejak pemergian Tomas Trucha dan ia sangat memberi impak. Adakah Penang sedang mencuba formula yang sama kepada Jafri?
Jafri pernah bermain di posisi bek kanan sebelum ini?
Berdasarkan perbincangan di media sosial, ada yang mengatakan Jafri pernah bermain di posisi pertahanan di usia mudanya. Namun, sejak bermain bersama Harimau Muda, posisinya adalah di jentera serangan.
Bersandarkan data yang pernah dikongsikan oleh bapanya kepada penulis sekitar tahun 2016 yang lalu juga menunjukkan beliau adalah penyerang. Jadi, bilakah beliau pernah bermain di posisi pertahanan dalam kariernya?
Difahamkan juga sepanjang pengajiannya di sekolah sukan Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian, beliau bermain sebagai penyerang, bukan pertahanan.
Jadi, ini adalah posisi dan peranan baharu sepanjang kariernya. Beliau telah menyahut cabaran yang diberikan kepadanya oleh pengendali pasukan untuknya mengubah posisinya daripada penyerang kepada bek kanan.
Malah menurut perkongsian seorang bekas pemain, Zamrie Chin mengenai isu ini, tiada masalah jika seorang penyerang diubah posisi kepada pemain pertahanan kerana beliau sendiri pernah melaluinya ketika mana beraksi.
“Aku teringat lagi masa bermain di Sime Darby di bawah ‘coach’ Ismail Zakaria. Posisi selama ni aku duk main adalah ‘striker’ ataupun pemain sayap kiri atau kanan. Bila peluang aku terhad di dalam pasukan untuk bermain, tiba-tiba ‘coach’ Mail panggil aku kat tepi padang.”
“Zamri, saya nak ubah posisi kamu bermain dari ‘striker’ ke pertahanan kanan boleh? Kamu mau? Sebab saya nak tukar, saya tengok sukar awak nak bermain.”
“Sebenarnya ‘coach’ nampak apa yang perlu di dalam pasukan. Kita sebagai peminat mesti merasa pelik, agak-agak la woi tak boleh ‘score’ gol, nak ‘score’ gol sendiri pulak ka? Ramai ja pemain ubah posisi dari ‘striker’ ke pertahanan dan akhirnya peluang dan masa untuk bermain lebih banyak dari posisi asal dulu.”
Mungkin natijah yang baik menanti di musim depan
Terkait dengan kisah ini, kita boleh lihat bagaimana Latiff Suhaimi yang baru sahaja meledak gol bersama Kelantan FC tempohari. Beliau asalnya adalah seorang penyerang yang telah ditukarkan kepada pertahanan sejak 2016.
Dan sudah tentu, kita lebih mengenalinya sebagai pertahanan berbanding seorang penyerang. Namun, beliau kembali ke posisi asalnya tempohari dan golnya membantu ‘The Red Warriors’ mengatasi skuad Projek FAM-MSN.
Selain Latiff, di arena bola sepak negara, terdapat ramai juga yang beralih posisi dan berjaya seperti Wan Rohaimi Wan Ismail, Hairuddin Omar, Amri Yahyah, Adam Nor Azlin termasuklah pengendali Penang sendiri, Zainal.
Sikap terpuji Jafri menerima cabaran baharu wajar dijadikan teladan. Ini bermaksud beliau terlalu ingin beraksi selepas kerap kali tercicir akibat persaingan sengit untuk posisi serangan dek kerana penyerang import.
Cuma, beliau perlu segera beradaptasi dengan perubahan peranannya di padang. Dari segi fizikal dan permainan kerasnya, mungkin tiada masalah untuknya bermain di posisi pertahanan. Tidak mustahil beliau boleh menjadi sandaran baharu Penang untuk posisi bek kanan pada musim hadapan selain Fairuz Zakaria yang sememangnya pilihan utama posisi bek kanan.