Piala AFC: Kecemerlangan Azri Ghani Pastikan KL City Benam Viettel Untuk Ke Final Zon Asean

KL City Piala AFC

Kuala Lumpur (KL) City mengharumkan nama negara apabila mara ke pentas final Piala AFC 2022 Zon Asean selepas meraih kemenangan ke atas wakil Vietnam, Viettel 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City itu, kedua-dua pasukan terikat 0-0 sehingga tamat 90 minit masa sebenar perlawanan sebelum aksi diheret ke masa tambahan.

Bagaimanapun kedua-dua pasukan terus buntu untuk mencipt jaringan sepanjang 30 minit dan memaksa pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Pengambil sepakan kedua The City Boys, Irfan Zakaria terlebih dahulu kecewa apabila sepakannya melangit melepas palang gol, namun KL City kembali mendapat ‘nyawa’ apabila pengambil sepakan keempat Viettel turut gagal.

Azri Ghani akhirnya cemerlang menafikan sepakan Duy Thuong Bui untuk memastikan KL City menang 6-5 dan sekaligus menempah slot ke final bertemu PSM Makassar.

Kedua-dua pasukan sebelum ini telah pun bertemu dalam aksi peringkat kumpulan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang menyaksikan keputusan berakshir seri 0-0.

Leave a Reply