Liga Super: 3 Pemain Paling Mencuri Tumpuan Aksi Terengganu Menentang JDT

Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengukuhkan kedudukan semasa mereka dalam carta Liga Super 2022, setelah menewaskan Terengganu semalam di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.

Pada perlawanan semalam, JDT nyata menerima tentangan sengit daripada tuan rumah sebelum mengesahkan kemenangan mereka kali yang ke-12 musim ini.

Untuk Terengganu, mereka tampil dengan sedikit kekurangan dalam senarai pemain apabila Faisal Halim, Manuel Ott, dan Tchetche Kipre tidak dapat beraksi semalam ketika menentang JDT.

Meskipun begitu, Terengganu berjaya mempamerkan aksi yang sangat baik semalam setelah membuat kebangkitan pada separuh masa kedua sehingga menghasilkan satu jaringan.

Berikut tiga pemain yang mempamerkan aksi sangat menyerlah sepanjang perlawanan semalam untuk memberi impak buat pasukan masing-masing.

Pape Diakite

Pemain import Terengganu ini boleh dikatakan banyak menyelamatkan keadaan pasukan ketika diserang serta cepat mematikan ancaman lawan.

Pape dilihat sangat konsisten sepanjang perlawanan dan berjaya mengurangkan ancaman daripada Fernando Forestieri serta Bergson da Silva daripada terus bergerak bebas.

Kredit: Terengganu FC

Kelebihan pemain ini dari segi bacaan bola juga sangat bagus dan beliau sangat rajin untuk bergerak di serata arah selain tenang meneutralkan pergerakan lawan.

Alif Zakaria

Pertahanan Terengganu ini boleh dikatakan sangat konsisten sepanjang perlawanan apabila beliau berjaya mematikan banyak pergerakan Arif Aiman.

Umum diketahui Arif Aiman antara pemain serangan paling sukar dikawal dalam Liga Malaysia (Liga-M), namun Alif berjaya merantai beliau dengan baik sepanjang perlawanan.

Kredit: Terengganu FC

Selain itu, Alif dilihat tenang dan tidak terburu-buru untuk membuat hantaran bola dan beliau juga tangkas untuk menutup segala ruang yang cuba dibina oleh Arif ketika Terengganu diserang.

Bergson da Silva

Penyerang ini terus membuktikan mengapa beliau selayaknya menjadi import yang sangat berbaloi dalam Liga-M sejak musim lalu menerusi sumbangannya di atas padang.

Bergson terus meledak gol dengan konsisten pada perlawanan semalam dan pemain ini juga dilihat sangat rajin bergerak di serata arah untuk menerima bola serta mencipta gerakan.

Kredit: JST

Sepatutnya Bergson boleh mendapatkan dua jaringan semalam, namun percubaan awal beliau sebelum itu sekadar menggegar palang gol dan peluang kedua tidak disia-siakan penyerang tersebut.

Leave a Reply