Seperti Mahu ‘Buang’ Perlawanan, Penang Letak Penyerang Sebagai Bek Kanan Berdepan JDT

Jafri Firdaus Chew penyerang main bek kanan Penang 2022

Selepas sekian lama tidak jejak kaki ke separuh akhir Piala FA, Penang FC turun dengan kejutan apabila seorang penyerang, Jafri Firdaus Chew telah dipertaruhkan sebagai bek kanan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Seperti mahu ‘buang’ perlawanan apabila dengan beraninya seorang penyerang diletakkan di benteng, posisi terpenting sesebuah pasukan. Dan kita tahu kekuatan Harimau Selatan terutamanya di koridor sayap mereka.

Ini percaturan paling berani Penang apabila penyerang yang permainannya keras diberikan posisi bek kanan.

Mungkin kali pertama Jafri menjadi bek kanan

Sebentar tadi, selepas kesebelasan utama diumumkan, seluruh Pulau Pinang ‘bergegar’ melihat pilihan pemain yang mengejutkan terutamanya di posisi benteng mereka. Pemain yang kurang mendapat tempat di hati para penyokong Harimau Kumbang, Jafri Firdaus Chew diturunkan oleh pengendali, Dato’ Zainal Abidin Hassan.

Malah mengejutkan semua tentunya posisi yang beliau diturunkan iaitu di posisi bek kanan milik Fairuz Zakaria.

Pilihan utama sebelum ini, Fairuz Zakaria telah diketepikan untuk bermula di bangku simpanan terlebih dahulu.

Zainal dilihat mempertaruhkan gandingan Rafael Vitor dan Christian Rontini di bek tengah, dibantu Jafri dan Adib Raop sebagai bek sisi. Semua sedia maklum yang Adib Raop juga bukan seorang pemain pertahanan.

Selepas krisis di benteng yang menyaksikan pemain bersilih ganti dicuba untuk posisi bek kanan dan kiri, Adib akhirnya diberikan peranan baharu di posisi bek kiri oleh pengendali sementara pada ketika itu, Manzoor Azwira. Kini, giliran posisi bek kanan pula bertukar menjadi milik pemain di posisi serangan, Jafri saat berdepan JDT.

Penang kembali ke semifinal selepas 20 tahun

Ketika prestasi mereka di Liga Super menjadi buah mulut disebabkan penurunan ketara berbanding musim lalu, prestasi mereka di saingan Piala FA sedikit mengejutkan apabila mereka mara sehingga ke separuh akhir.

Kali terakhir mereka mara sejauh ini adalah pada edisi 2002 seterusnya menjulang kejuaraan buat kali pertama dalam sejarah pasukan. Mereka mengatasi Kedah di separuh akhir dan mengecewakan Perak di pentas akhir.

Malah, mereka mara dengan bergaya apabila merekodkan jaringan besar dalam setiap kemenangan yang diraih sepanjang perjalanan ke separuh akhir berdepan JDT pada malam ini iaitu menang 4-0 ke atas Bukit Tambun FC di pusingan pertama, 4-1 ke atas Perak FC di pusingan kedua dan 5-2 ke atas Sri Pahang di suku akhir.

Adakah Penang mahu ‘buang’ perlawanan ini? Mustahil kerana ini adalah sejarah terbesar buat mereka pada musim yang penuh onak duri kini. Namun, mengapa Jafri menjadi pilihan untuk bermain di posisi pertahanan? Hanya pengendali, Zainal dan barisan kejurulatihan mengetahui punca pemain tersebut diberikan peranan itu.

Ketika ini aksi separuh akhir antara JDT dan Penang sedang hangat berlangsung di Iskandar Puteri. JDT sedang mendahului 2-0 hasil jaringan Bergson da Silva pada minit ke-20 dan Fernando Forestieri empat minit kemudian.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN