Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Mengapa JDT, Iklim Bola Sepak Di Malaysia & Kesedaran Semua Pihak Untuk Martabatkan Industri

Minggu ini antara isu yang hangat dibincangkan di media sosial, media digital dan media cetak ialah mengenai kehadiran penyokong pada minggu pertama di pertandingan Piala Malaysia.

Piala Malaysia mungkin adalah pertandingan yang tidak mempunyai signifikan seperti Liga Super dan Piala FA di negara ini. Ini kerana pertandingan ini tidak memberikan pasukan yang muncul juara sebarang slot untuk ke pertandingan di peringkat rantau Asia.

Namun demikian, mengambil kira prestij lampau dan bagaimana sejarah bola sepak negara bermula dari pertandingan ini – sejak 1921 – kehadiran penyokong boleh dianggap amat mengecewakan. 32,541 adalah angka rasmi jumlah penyokong yang hadir ke stadium melibatkan lapan perlawanan dan venue membabitkan 16 pasukan bertanding.

Perlawanan membabitkan PJ City FC menentang PKNP FC merekodkan kehadiran paling sedikit iaitu seramai 348 penyokong. Paroi menyaksikan kehadiran teramai dengan 6,207 penyokong direkodkan hadir untuk perlawanan diantara Negeri Sembilan dan Kedah. Turut mendapat perhatian media dan pemerhati bola sepak tempatan ialah Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin yang sekadar merekodkan kehadiran 5,800 penyokong dalam perlawanan menentang UiTM FC.

Ini bermakna kehadiran purata kehadiran penyokong di setiap venue adalah 4,067 orang – satu angka yang amat menyedihkan untuk sebuah negara yang menganggap diri sebagai meminati sukan bola sepak sebagai sukan No.1 negara.

Kajian ringkas

Di dalam proses mengumpul jumlah kehadiran pada minggu ini, kami turut dihubungi oleh beberapa pegawai pasukan yang mengatakan angka rasmi diatas sebagai tidak tepat. Ini kerana ia tidak termasuk jumlah pemegang pass bermusim, dan jumlah tiket percuma yang diedarkan secara percuma di dalam program-program tanggungjawab sosial koporat (CSR) yang membabitkan persatuan.

Memandangkan tiada angka rasmi yang diperolehi oleh kami untuk kehadiran pass bermusim atau yang dihasilkan oleh program CSR, maka angka 32,541 adalah angka rasmi yang boleh digunapakai untuk penghasilan kajian yang menjurus kepada artikel ini.

Turut dilakukan ialah beberapa kajian di kalangan penyokong sendiri. Beberapa pendapat penyokong diambil untuk mengetahui pandangan terus dari mereka sendiri. Begitu juga dengan cadangan daripada pemain industri sendiri mengenai apa yang berlaku sehingga bola sepak Malaysia dianggap sebagai suram.

Sudah tentu, hanya pandangan yang kontruktif tanpa prejudis akan diambil kira untuk tujuan pengisian di sini.

Mengapa JDT & Kecewaan TMJ

Sebelum pergi lebih jauh, beberapa pasukan atau kelab turut diambil sebagai sampel kajian. JDT adalah pasukan paling mudah untuk dijadikan sampel kerana mempunyai beberapa ciri yang tidak dimiliki oleh pasukan lain sebagai sebuah kelab serba lengkap di negara ini.

KETIDAKHADIRAN PENYOKONG BOLEH MERENCATKAN PEMBANGUNAN JDT

Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Kelab Bolasepak…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Friday, August 2, 2019

Selain daripada memiliki kemudahan dan fasiliti yang mencukupi, seperti sistem pembelian tiket teratur dan sebagainya, JDT juga dianggap sebagai sebuah pasukan yang dominan dengan kejayaan dekad ini – terkini melengkapkan kejuaraan ke-6 Liga Super.

Di media sosial sendiri, JDT juga mempunyai pengikut teramai – 2,157,322 pengikut di platform Facebook, 195,000 di Twitter sehingga artikel ini ditulis – dua platform yang kami gunakan untuk mendapatkan pandangan dari pelbagai pihak.

FAKTA PENCAPAIAN KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA’ZIM

Untuk tempoh tiga tahun sejak 2015 sehingga 2017, Stadium Tan Sri…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Wednesday, October 25, 2017

Sejak beberapa musim yang lalu, jumlah kehadiran penyokong JDT ke stadium tidak pernah menjadi isu. Larkin sentiasa dihadiri sekurang-kurangnya 10,000 penyokong hampir di setiap perlawanan – angka yang boleh dianggap amat tinggi untuk sebuah kelab yang bersaing di Liga Malaysia.

REKOD KEHADIRAN PENYOKONG KE STADIUM LARKIN

*setakat 26hb Julai 2017

—-

CROWD ATTENDANCE RECORD AT LARKIN…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Monday, July 31, 2017

Malah jumlah penyokong di Larkin dianggap paling konsisten di kalangan pasukan-pasukan lain di negara ini sejak revolusi bola sepak dilakukan dengan jayanya oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).

Jumlah peningkatan kehadiran penyokong di Larkin dilihat sebagai sejajar dengan visi TMJ yang mahu JDT tampil sebagai sebuah jenama – sekaligus menjadi kebanggaan rakyat negeri Johor dan Malaysia amnya.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh baginda untuk tujuan tersebut. Antaranya mempromosikan jenama JDT ke luar negara. Prestasi JDT di pertandingan peringkat serantau turut berada di landasan betul dengan kejuaraan Piala AFC pada 2015, diikuti penampilan membanggakan di kejohanan Asian Champions League (ACL 2019) – walaupun ia adalah musim pertama JDT beraksi di pentas tersebut.

Sejak 2013, tidak dapat dinafikan baginda telah banyak melakukan serta membawa masuk pelaburan dari dalam dan luar negara demi menjadikan JDT bangun sebagai sebuah empayar bola sepak, bukan sahaja di negara ini tetapi juga rantau Asia.

PEMENANG ANUGERAH BOLASEPAK KEBANGSAAN 2018 : KATEGORI PENYOKONG TERBAIK.

JOHOR DARUL TA’ZIM !

#ABK18
#MalaysianFootballLeague
#TransformingMalaysianFootball

Posted by Malaysian Football League on Monday, November 5, 2018

Usaha baginda turut mendapat sambutan baik penyokong yang sentiasa tampil memberi sokongan padu pasukan dan kelab di dalam dan luar padang. Buktinya, ialah bagaimana penyokong sanggup membeli jersi pasukan yang asli – satu kesedaran luar biasa – walhal jersi JDT adalah yang paling mahal di kalangan pasukan Liga Malaysia yang lain.

KEJAYAAN KOMERSIAL JDT, CONTOH YANG BAIK UNTUK DIIKUTI

Artikel Goal.com menyebut tentang perancangan komersial Kelab…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Sunday, January 14, 2018

Tidak dapat dinafikan lagi JDT adalah pasukan yang mendahului dan berada di kelas tersendiri secara komersil, sehingga mampu menarik perhatian jenama-jenama terkemuka dan syarikat-syarikat koporat untuk tampil sebagai penaja.

TERIMA KASIH, PARA PENAJA

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Monday, July 29, 2019

Semuanya itu adalah atas usaha tanpa mengenal penat lelah oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan juga penyokong. JDT dianggap sebagai model jelas sebagai salah satu cara bagaimana bola sepak seharusnya dibangunkan di negara ini.

Ini adalah sebab utama mengapa anda tidak boleh menyamakan kehadiran penyokong dengan pasukan-pasukan lain di negara ini.

Kemerosotan kedatangan penyokong

Musim 2019 JDT boleh dikatakan terus ampuh apabila bergelar juara Liga Super buat kali ke-6. Aksi di ACL 2019 juga amat membanggakan. Pembinaan stadium baharu, Stadium Sultan Ibrahim juga sedang rancak, dan dilihat sebagai satu keperluan untuk kelab melangkah ke peringkat seterusnya.

Sekiranya dinilai visi dan misi oleh TMJ, ia adalah rancangan yang seperti tiada cacat cela. Apa yang dilakukan oleh baginda sememangnya betul. Sesebuah kelab bola sepak harus sentiasa mencari cara untuk ke hadapan.

Progres terkini pembinaan Stadium Sultan Ibrahim, stadium baharu Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Luaskan…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Tuesday, June 25, 2019

Untuk saingan Liga Super pada musim ini, JDT merekodkan penurunan dari segi kehadiran penyokong berbanding beberapa musim yang lalu. Untuk musim 2019, 104,790 direkodkan, dengan purata kehadiran sehingga 26 Mei lalu, melibatkan 15 perlawanan.

Secara purata, 6,986 penyokong yang hadir di setiap perlawanan di awal musim. Jika dibandingkan dengan jumlah kehadiran pada 2017 misalnya, jumlah penyokong pada 2019 boleh dianggap merosot.

SOKONGAN PADU PENYOKONG PEMANGKIN PERSEMBAHAN CEMERLANG HARIMAU SELATAN

Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Wednesday, May 29, 2019

Kehadiran penyokong JDT pada perlawanan terakhir Liga Super turut menjadi tanda tanya, diikuti oleh kehadiran penyokong menentang UiTM FC pada hujung minggu lalu. Ke manakah perginya penyokong JDT?

Mungkin ada yang akan berkata, ‘mengapa kehadiran penyokong JDT di Larkin yang diperhatikan? Ada lagi penyokong pasukan lain yang mencatat kehadiran lebih rendah di negara ini.’

Jawapan kami: jangan prejudis wahai saudara. Kita buka fikiran kita, kita guna akal sebagai anugerah yang diberi. Berbanding JDT, pasukan-pasukan lain tidak melabur dengan strategi yang ampuh demi kelangsungan sebagaimana yang dilakukan oleh baginda kepada JDT.

Soalan yang lebih merisaukan pula ialah sekiranya JDT yang mempunyai segala perancangan rapi, disusuli dengan kejayaan di dalam dan luar padang masih gagal mengekalkan jumlah kehadiran penyokong, bagaimana pula pasukan lain? Bagaimana nasib bola sepak di negara ini sebagai sebuah industri?

Mengapa penyokong penting?

Artikel Pegawai Pemasaran Vitesse Kongsi Realiti, Cabaran Dan Tips Dalam Menarik Penyokong yang pernah kami siarkan menceritakan betapa pentingnya penyokong dan kehadiran mereka ke stadium pada hari perlawanan.

Melalui artikel tersebut, Richard Denton yang merupakan seorang pensyarah bidang pemasaran di Johan Cruyff Institute berkata penyokong adalah elemen pertama dan terpenting di dalam bola sepak walapun sumbangan mereka dari segi kewangan hanyalah 10% dari hasil kutipan tahunan, dan selebihnya adalah dari hasil pendapatan lain seperti penjualan pemain, hak penyiaran dan tajaan.

Ini bagi memastikan kelab sentiasa berada dalam keadaan stabil dari segi dana. Denton setuju bahawa penaja adalah paling penting dalam isu dana ini. Tetapi satu lagi elemen yang paling peting adalah penyokong.

Anda boleh menarik seberapa banyak penaja ke dalam pasukan, tetapi jika tanpa sokongan yang kuat, para penaja tetap akan lari.

Richard Denton menegaskan: “Bola sepak adalah sukan no.1 di dunia, itu adalah satu kelebihan dan potensi yang harus dihargai.”

“Anda seharusnya tidak melupakan bahawa bola sepak itu adalah sukan. Jadi, ia perlu kekal menjadi wadah yang bersifat kolektif.”

Dalam erti kata lain, tanpa penyokong bermakna bola sepak akan hilang aset lain yang lebih bersifat kolektif seperti atmosfera di hari perlawanan. Atmosfera di hari perlawanan pula menyumbang kepada kemeriahan bola sepak itu sendiri. Kemudian ia akan diikuti oleh pelabur-pelabur luar dari pelbagai aspek yang boleh menjana kewangan seperti hak penyiaran, tajaan atau aspek teknikal lain seperti dalam bentuk rakan kongsi.

Dari sini kita boleh melihat bagaimana penyokong menjadi aset terpenting dalam bentuk rantaian perkembangan sesebuah kelab bola sepak.

Apa kata yang lain?

Seperti yang kami katakan di bahagian awal tadi, pandangan penyokong turut diambil berat dalam merangka hala tuju artikel ini. Antara perkongsian dari penyokong yang memilih untuk tidak ke stadium adalah seperti yang disenaraikan dibawah. Di dalam konteks bola sepak, semua alasan ini juga digunapakai bukan sahaja oleh JDT, tetapi juga oleh semua pasukan lain yang bertanding.

  • Faktor ekonomi
  • Kekangan masa walaupun perlawanan pada hujung minggu
  • Taktikal bosan
  • Tiadanya marquee player (pemain bintang ternama) untuk dijadikan perhatian
  • Terlampau banyak isu negatif ditampilkan fan pages di media sosial buat hilang mood.
  • Lebih selesa menonton di IFLIX

Selain daripada sebab seperti yang disenaraikan diatas pandangan salah seorang penyokong, juga pernah bekerja di bahagian media, dan merupakan bekas pegawai pemasaran kelab Liga Australia, Perth Glory FC iaitu saudara Ghaz Ramli turut menarik perhatian kami.

Salam Syamil and thank you for your interest to know my thoughts on this matter. Baik bancuh air dulu, panjang ni!…

Posted by Ghaz Ramli on Sunday, August 4, 2019

Lima perkara yang ditekankan oleh beliau pada pendapat kami melalui perkongsian tersebut yang boleh direnungkan serta dimanfaatkan oleh kita, adalah seperti berikut:

1. Kehadiran berdasarkan keputusan adalah tidak benar
Dalam sebuah liga yang mempunyai 10 pasukan misalnya, hanya akan ada satu pemenang. Kedudukan kedua, ke-9 atau ke-10 bukan digelar juara. Adakah itu bermakna anda tidak perlu berusaha untuk menagih sokongan penyokong? Anda harus secara praktikal mencari kaedah untuk berusaha mencari cara bagaimana untuk menarik penyokong walau betapa buruk sekali pun keputusan terdahulu. Sebuah akhbar tidak dijual hanya kerana muka hadapan. Akan ada bahagian lain juga untuk difokuskan seperti ruangan pengumuman kematian, permainan silang kata, atau pun keputusan nombor ekor. Apa yang cuba disampaikan ialah kelab harus fokus sepenuhnya kepada tugasan pada keseluruhan musim walau apa pun pencapaian akhir di akhir musim. Jika ianya saya, saya akan cuba menjual habis tiket perlawanan pada hari terakhir walaupun sebelum musim bermula.

2. Terlampau ambil mudah
Bukan kerana hanya satu muat naik di media sosial telah menerima respon yang banyak, maka ia tidak memberikan hasil pada hari tersebut. Bukan hanya kerana sehelai t-shirt diedarkan secara percuma, maka sebuah band akan mengadakan persembahan, hanya kerana beberapa jenama tampil sebagai penaja, maka kita menjangkakan akan ramai turun berduyun ke stadium. Ia bukan begitu. Hanya apabila tiket perlawanan berjaya dijual, baharulah adanya jaminan penyokong akan hadir. Sehingga itu terjadi, jangan ambil mudah dan menjangkakan perkara yang indah dan glamor semata-mata akan mendorong mereka berbuat demikian. Kemudian anda masih memiliki sistem tiket sejak 1974. Cari cara penyelesaian lain.

3. Semua pihak mahu jadi pakar
Ini adalah faktor terbesar. Tanpa sebarang pengalaman dan pengetahuan ramai bertanggapan mereka adalah pakar sehinggalah mereka yang sememangnya mahir di dalam bidang tersebut boleh tercengang. Ini perkara yang paling menjengkelkan saya. Bagaimana seseorang tanpa sebarang ilmu pengurusan di dalam bidang sukan memberikan pandangan bagaimana sebuah kelab atau persatuan harus beroperasi? Hanya kerana telah menonton beberapa dokumentari, membaca buku Soccernomics, bermain permainan fantasy dan aktif di Twitter? Apabila pasukan anda telah kalah 8 perlawanan berturut-turut misalnya, anda harus menelefon setiap penyokong di dalam data yang anda miliki dan terus jemput mereka untuk hadir ke perlawanan seterusnya. Walaupun anda mungkin dileter, anda harus meneruskan pekerjaan itu, dan barulah anda layak untuk bersuara. Apabila kehadiran mencecah 5,000 pada hujung minggu, saya mahu melihat bagaimana respon seterusnya pada pagi Isnin, dan mencari kaedah untuk penambahbaikkan. Saya rasa saya tahu apa berlaku. Mereka hanya menunggu dan berharap lebih ramai akan datang dalam perlawanan seterusnya. Bukankah ianya bodoh sebegitu??

4. Alasan dana
Alasan kekangan dana merupakan alasan paling lemah dan malas pada pandangan peribadi saya. Ia seperti sudah tidak ada penghormatan untuk melakukan satu tugasan dengan jayanya. Sama ada melalui pendapatan sampingan, atau faedah tambahan, ia boleh dijadikan kaedah untuk memotivasikan kakitangan anda apabila sebahagian daripada sasaran berjaya dicapai. Adakalanya ia akan menjadi sukar, tetapi wang bukan segala-galanya. Rom tidak dibina dalam satu hari. Anda tidak boleh menjadikan 5,000 kehadiran kepada 50,000 dalam tempoh satu hari. Anda harus mempunyai pelan tindakan. Kemudian kekal dengan plan tersebut.

5. Kebergantungan kepada kumpulan ultras
Saya telah menyentuh menganai hal ini tadi (muat naik Facebook). Benar, Viking clap di perlawanan akhir Piala FA amat menarik. Tetapi adakah sesiapa telah tampil untuk mendapatkan butiran mereka yang hadir dalam perlawanan tersebut? Saya rasa tidak. Jika terdapat usaha mendapatkan butiran mereka, dan kemudian pelan dirangka untuk mencari jalan agar mereka terus turun ke perlawanan seterusnya, ia pasti pelan yang lebih menarik.

Untuk renungan bersama

Ada banyak lagi perkara yang perlu direnungkan. Seperti kata saudara Ghaz Ramli di dalam kenyataan di akaun Facebook beliau, bagaimanakah cara untuk memastikan penyokong sanggup mengorbankan masa sehingga 6 jam (termasuk perjalanan sebelum, dan selepas perlawanan) diantara 7pm sehingga 12am semata-mata untuk menonton perlawanan di stadium di negara ini.

Waktu perlawanan sebegini terang-terangan tidak sesuai untuk penyokong bola sepak yang berusia, kanak-kanak dan juga bagi yang sudah bekeluarga. Mungkinkah Malaysian Football League (MFL) sebagai badan penganjur boleh merancang waktu perlawanan yang lebih mesra kepada semua pihak – terutama kepada yang sudah bekeluarga pada masa hadapan?

Bagaimana pula peranan laman-laman penyokong, terutama yang bukan rasmi di media sosial seperti yang dinyatakan oleh penyokong? Adalah lebih baik sekiranya laman-laman ini bertindak sebagai wadah untuk menyatukan penyokong, menyantuni penyokong pelawat misalnya untuk sama-sama bertandang ke stadium daripada menjadi batu api, bagaikan api dalam sekam menyebarkan kebencian sekaligus menjadi pemecah belah komuniti bola sepak di negara ini.

Penutup

Selain daripada perkara diatas, kesedaran dari penyokong sendiri untuk melihat industri bola sepak berkembang di negara ini juga harus diberikan penekanan. Kalau bukan kita siapa lagi. Lakukan juga demi pemain. Tidak ada pemain yang suka beraksi di stadium yang lengang.

Untuk penyokong JDT pula, semuanya sudah tersedia untuk anda. Hargai apa yang ada. Teruskan setia bersama kelab di saat sukar dan senang seperti yang pernah anda lakukan sebelum ini. Anda memiliki apa yang pasukan dan kelab lain tidak miliki iaitu seorang pemilik yang amat cintakan bola sepak.

Begitu juga dengan sosioekonomi golongan sasar yang turun ke stadium. Pernahkah ia dilakukan?

Saya telah berada di sini sejak 2014 dan kami telah memenangi banyak trofi. Saya telah melihat ramai orang bercakap…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Saturday, August 3, 2019

Begitu juga dengan pengurusan pasukan yang lain, penyokong, badan pentadbir, dan pemegang taruh lain dalam industri. Lebih baik sekiranya semua pihak boleh berganding bahu untuk bersama-sama mencari penyelesaian daripada asyik bersikap prejudis antara satu sama lain atau saling menyalahkan apabila timbul sesuatu isu. Penarikan diri Telekom Malaysia sebagai penaja Liga Super sebelum ini juga harus diberikan pengajaran kepada semua pihak agar tidak memandang remeh aspek atmosfera dan kepentingan penyokong di liga kita.

Tulisan di atas mengambil contoh JDT sebagai kelab terbaik di dalam negara. Bukan kerana kami mahu menumpang populariti kerana itu bukan perkara yang kami perlukan. Kerana jauh dari mengejar populariti, ada taruhan lebih besar di hadapan yang perlu diambil kira oleh semua pihak, iaitu masa depan bola sepak sebagai sebuah industri di negara ini. Kebanggaan kami pula ialah apabila Malaysia berjaya ke Piala Dunia.

 

Nota editor: Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak menggambarkan pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi media di negara ini.