Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic percaya anak buahnya mampu menghadirkan kegembiraan buat para penyokong pada perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia 2017 yang akan berlangsung di Stadium Perak, Ipoh malam esok seandainya para pemainnya dapat meminimumkan kesilapan individu diatas padang.
Ketika ditemui SemuanyaBOLA sebelum sesi latihan pasukan di Stadium Perak semalam, Mehmet menyuarakan keyakinan beliau menjelang perlawanan menentang Pahang esok.
”Saya yakin kami mampu melakukannya, kami dikecewakan di Pahang hanya dengan kecuaian 5 minit tersebut (merujuk kepada 3 jaringan Pahang). Memasuki babak kedua, kami mampu menghasilkan jaringan dan turut mengawal permainan.”
”Sekiranya kami dapat mempamerkan aksi seperti pada babak kedua di Pahang tempohari, tidak mustahil untuk kami meraih kemenangan walaupun diakui Pahang merupakan sebuah pasukan yang kuat. Faktor bermain di laman sendiri serta mengharapkan penyokong akan memenuhi stadium, ia akan membantu kami bagi mengalahkan Pahang.
Mehmet turut mengulas mengenai kesilapan individu yang dilakukan anak buahnya dalam dua perlawanan terakhir hingga mengakibatkan Perak dibolosi 6 jaringan dalam dua perlawanan.
”Secara jujurnya lima daripada enam jaringan yang dilepaskan ketika bertemu Pahang dan Melaka tempohari adalah kesilapan daripada pemain kami. Pemain harus mengekalkan konsentrasi mereka dalam 90 minit perlawanan.”
”Mereka perlu mengelakkan dari melakukan kesilapan individu, sekiranya berjaya dielakkan, kami adalah satu pasukan yang sangat baik dan mampu untuk menewaskan Pahang.”
”Perak adalah satu pasukan yang baik sekiranya bermain sebagai satu pasukan, kami berjaya melakukannya musim ini, namun kesilapan individu merugikan pasukan. Kami perlu memandang ke hadapan dan seterusnya bermain dengan baik menentang Pahang nanti,” jelas Mehmet Durakovic lagi.
Perak perlu memadamkan kelebihan 2 jaringan dimiliki Pahang yang menang 3-1 pada perlawanan pertama di Stadium Darul Makmur. Bagaimanapun skuad bimbingan Mehmet itu mempunyai satu gol jaringan tempat lawan untuk dijadikan bekalan malam esok.
Berita buruk terus menyelubungi kem Perak yang sebelum ini kehilangan khidmat Hafiz Kamal akibat kecederaan ketika sesi latihan, kini mereka terpaksa pula melupakan khidmat pemain import, Yashir Armando Pinto Islame yang tercedera sewaktu perlawanan Liga Super menentang Melaka United di Stadium hang Jebat pada Rabu lalu.