Mehmet Durakovic Tetap Berbangga Dengan Pencapaian Anak Buahnya Musim Ini

Mehmet Durakovic

Mehmet Durakovic tetap berbangga dengan pencapaian yang dilakarkan oleh anak buahnya walaupun Perak The Bos Gaurus tidak berjaya untuk memenangi sebarang piala pada musim ini.

Kehadiran Mehmet di Stadium Perak pada bulan Februari lalu, mulanya tidak begitu disenangi penyokong setia Perak tatkala mereka lebih mahukan khidmat mendiang Karl Heinz Weigang yang sebelum itu membimbing pasukan.

Tugasan sukar menanti Mehmet pada permulaan karier kejurulatihannya di Ipoh apabila Perak hanya mampu mencatatkan 1 kemenangan, 5 seri dan 3 kekalahan pada 9 perlawanan awal dibawah kendalian jurulatih yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan Australia berkenaan. Keadaan yang amat merisaukan para penyokong Perak ketika itu.

Segalanya berubah dan tampak lebih meyakinkan ketika saingan liga berehat pada bulan Ramadan setelah kemasukan dua pemain import baru yang pernah beraksi di Malaysia iaitu Gilmar Jose Da Silva Filho bersama-sama Leandro Dos Santos Oliveira yang menggantikan Vladislav Mirchev dan Faton Toski.

Kemasukan dua pemain tersebut serta Mehmet sendiri yang sudah berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan di kem Perak telah membuatkan prestasi para pemain juga semakin meningkat untuk membawa skuad ‘Kejor Yop Skor’ berjaya melayakkan diri hingga ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2017.

Kali terakhir Perak beraksi dalam perlawanan separuh akhir kejohanan tersebut adalah pada 10 tahun lalu dibawah kendalian Steve Darby yang seterusnya berjaya membawa Perak beraksi di perlawanan akhir.

Mehmet Durakovic juga berjaya menempatkan Perak di kedudukan ke-5 Liga Super musim ini. Pencapaian terbaik buat Perak selepas format 12 pasukan bertanding di Liga Super diperkenalkan pada tahun 2013.

Mehmet yang ditemui Berita Harian, jelas berbangga dengan pencapaian yang dikecapi anak buahnya.

“Saya berbangga dengan komitmen semua pemain terutama barisan muda kerana Perak musim ini tidak dibarisi pemain bintang tetapi mereka berjaya mempamerkan prestasi meyakinkan. ”

Mehmet turut menyifatkan keupayaan menduduki tangga ke-5 dalam saingan liga juga sangat menggembirakannya.

“Berada di tangga kelima musim ini amat menggembirakan dan sudah pasti prestasi lebih baik diharap dapat dipersembahkan musim depan,” katanya.

Ketika Perak sedang berusaha untuk mencabar kejuaraan liga dan Piala Malaysia, Mehmet terpaksa menelan kepahitan apabila kehilangan beberapa pemain tonggak utama seperti Mohd Hafiz Kamal, Yashir Armando Pinto Islame dan Leandro Dos Santos yang sedikit sebanyak merencatkan perancangan rapi yang direncanakan oleh beliau.

Kredit foto: Arena Seladang

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN