Disiplin adalah satu kunci yang cukup penting dalam apa saja perbuatan untuk berjaya.
Tidak kira apa jua bidang, ianya penting untuk mengekalkan disiplin dan memberikan yang terbaik dalam apa saja yang dilakukan – termasuklah bermain bola sepak.
Bagi pemain bola sepak profesional, displin amatlah ditagih untuk memastikan prestasi sentiasa dalam tahap optimum apabila beraksi di padang.
Ianya boleh dilihat menerusi pemakanan yang baik serta tidur yang cukup untuk membolehkan prestasi boleh diberikan dengan jayanya ketika perlawanan.
Namun begitu, lain pula cerita apabila melihat telatah pemain Paris Saint-Germain (PSG) iaitu Neymar yang jelas mengabaikan disiplin.
Selepas tumbang ditangan Bayern Munich pada aksi UEFA Champions League (UCL) tempoh hari, Neymar dilihat pergi ke kejohanan poker serta melepak di restoran makanan segera iaitu McDonald’s sehingga lewat malam.
Ketika di restoran, Neymar dikatakan makan makanan yang tidak berkhasiat seperti burger di restoran tersebut.
Menurut laporan Le10 Sports, Neymar ‘membakar’ €10 ribu (RM47 ribu) setiap kali perlu bermain poker itu.
“Dia kembali untuk bermain €10 ribu pada malam tersebut. Saya sangkakan dia hadir kerana jemputan penaja tetapi sebaliknya, dia pergi dan datang semula ke kejohanan besar itu.
“Harga nak masuk adalah €10 ribu sekali datang.”
Semasa minggu ini, bandar Paris turut menjadi tuan rumah kepada European Poker Tour de Paris selain daripada perlawanan UCL melibatkan PSG dengan Bayern.
Apa yang berlaku yang dilakukan oleh Neymar ini sebenarnya begitu kontra dengan apa diperkata oleh Kylian Mbappe selepas tumbang kepada gergasi Jerman tempoh hari.
Selepas kekalahan kepada Bayern, Mbappe mengambil keputusan untuk memberikan kata-kata semangat kepada rakan sepasukan supaya boleh bangkit di Jerman kelak.
“Pemain kami mestilah berada dalam keadaan yang terbaik untuk aksi timbal balik.
“Kesemuanya perlu makan dan tidur dengan cukup,” kata Mbappe.
Namun begitu, lain pula jadinya. Neymar oh Neymar!