Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri berpendapat bahawa hampir mustahil buat dirinya untuk menurunkan kesemua pemain terbaik beliau di atas padang sambil memuji kualiti ‘squad depth’ yang dimiliki kelab baharunya itu.
Berikutan dengan keadaan itu, pengurus berbangsa Itali tersebut juga menyifatkan sesiapa sahaja yang berada di tempatnya adalah sebagai ‘seorang yang bertuah’ apabila memiliki jentera serangan yang baik dalam pasukan.
Sarri yang baharu sahaja menyertai Chelsea telah mencatatkan rekod bersih buat setakat ini apabila berjaya membantu The Blues meraih kemenangan dalam kesemua empat perlawanan Liga Perdana Inggeris 2018/19.
Pada perlawanan bertemu Bournemouth, Sarri meletakkan Alvaro Morata di bahagian depan dan dibantu oleh Eden Hazard dan Willian.
Kemudiannya Willian digantikan dengan Pedro yang menyaksikan pemain kelahiran Sepanyol menghasilkan impak pantas dengan menjaringkan gol pada minit ke-72, hanya selepas tujuh minit beliau dimasukkan.
Hazard mengukuhkan kedudukan untuk mengesahkan kemenangan 2-0 buat Chelsea di Stamford Bridge.
Keadaan tersebut nyata menggembirakan Sarri terhadap jentera serangan yang dimiliki Chelsea.
‘’Pedro telah bermain sebagai kesebelasan utama pada tiga perlawanan tetapi hari ini (kelmarin) saya merasakan lebih baik untuk memasukkan Willian.’’
’’Saya sangat bertuah kerana mana-mana jurulatih yang boleh memilih di antara Pedro dan Willian adalah jurulatih yang bertuah.’’
‘’Pedro merupakan pemain yang hebat. Saya merasakan setiap musim dia akan menjaringkan lebih kurang 15 gol, jadi ia merupakan perkara normal buatnya untuk menjaringkan gol.’’
’’(Eden) Hazard, Pedro, (Victor) Moses, Willian, berada di posisi yang sama, saya sangat bertuah dan tidak juga untuk melupakan (Callum) Hudson-Odoi.’’
Dalam pada itu, Maurizio Sarri turut melihat jentera di bahagian pertahanan perlu diperbaiki anak buahnya.
‘’Saya merasakan kami perlu untuk berhati-hati terutamanya kedudukan pemain ketika kami sedang bertahan.’’
’’Hari ini kami mempunyai pemain bek sayap yang melakukan hantaran lintang dan seorang lagi di dalam kotak penalti. Ia sedikit berbahaya buat kami.’’
’’Kami sentiasa berada dalam posisi untuk menghadapi serangan balas pantas hanya dengan pemain pertahanan tengah sahaja.’’
‘’David Luiz dan Antonio Rudiger berada di posisi yang tepat apabila pasukan lawan melakukan serangan tetapi tidak buat pemain tengah dan bek sayap kiri dan kanan.’’