Aksi cemerlang yang dipamerkan dalam perlawanan pemanas badan berdepan Jordan tempohari oleh bek kanan negara, Matthew Davies memang sudah dijangkakan biarpun skuad kebangsaan tumbang 0-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Untuk tahun ini sahaja, sudah enam kali Matthew Davies beraksi bersama Harimau Malaya dan bersama Pahang, beliau adalah tonggak penting sepanjang saingan liga dan Piala Malaysia.
Namun, kehadiran semula bek kanan, Syahmi Safari ke dalam kem skuad kebangsaan nampaknya memberi petanda yang posisinya itu bakal menjadi rebutan dan menurutnya, dia sudah bersedia.
“Syahmi adalah seorang pemain yang bagus dan dia berikan saya saingan. Tetapi saya sudah bersama skuad kebangsaan dalam tempoh lima tahun dan telah beraksi dalam banyak perlawanan.
“Saya mahu terus kekal beraksi di posisi tersebut dan saya sangat yakin dengan kemampuan diri saya,” ujar pemain kacukan Malaysia-Australia itu yang dipetik melalui portal The Star.
Syahmi Safari telah mengambil alih posisi tersebut untuk saingan Piala AFF Suzuki 2018 selepas Matthew Davies disahkan mengalami kecederaan panjang dan pemain berusia 21 tahun itu tidak kekok malah membantu skuad negara mara ke hingga ke final.
Begitupun, Matthew Davies kembali merampas posisi tersebut tahun ini apabila Syahmi Safari mengalami kecederaan dan tidak dipanggil dalam dua aksi antarabangsa sejurus selesai tugasan di kelayakan Kejohanan Piala AFC B-23 pada Mac lalu.
Kedua-dua pemain ini telah mempamerkan konsistensi bersama pasukan masing-masing dalam saingan liga dan Piala Malaysia musim ini namun strategi berbeza Tan Cheng Hoe akan memaksa Syahmi Safari beralih kepada lebih ofensif sekiranya beraksi.
Ini kerana, di Selangor, B. Satianathan lebih mahukan pemain muda ini beraksi secara defensif dan berbanding Matthew Davies, beliau pastinya tiada masalah kerana peranannya di Pahang sama dengan apa yang dimahukan oleh pengendali skuad kebangsaan.
Bercakap pula mengenai kekalahan 0-1 kepada Jordan tempohari, Matthew Davies jelas tidak terkesan malah baginya skuad negara telah mempamerkan aksi terpuji terutamanya di babak kedua.
“Kami mencipta banyak peluang dan turut membuat beberapa hantaran berbahaya. Kami berpuas hati dengan persembahan kami walaupun tewas,” jelasnya yang kini berusia 24 tahun.
Kredit Featured Image: Pahang FA