Quantcast

MPFL

MPFL 2019: Pahang Rangers Terlepas Peluang Himpit Kedudukan Selangor

Pahang Rangers mensia-siakan kelebihan dua gol untuk sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 5-5 menentang Terengganu dalam aksi Malaysian Premier Futsal League (MPFL) 2019 di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam pada Sabtu.

Keputusan itu memberi tamparan hebat kepada skuad bimbingan Taufik Yaiyah yang terlepas peluang untuk terus menghimpit rapat kedudukan pendahulu Selangor yang berjaya melebarkan kelebihan di tangga teratas kepada enam mata hasil kemenangan 6-3 ke atas KL City dalam perlawanan berlangsung selepas itu.

“Kita bermain di bawah par dan melakukan beberapa kesilapan ketika bertahan, menjaringkan banyak gol tetapi dalam masa sama melepaskan banyak gol. Terengganu pula bermain dengan lebih agresif di babak kedua dan ianya satu mata yang adil buat kedua-dua pasukan dengan komitmen yang ditunjukkan.

“Apapun kami tidak boleh membiarkan keputusan perlawanan ini menyentap semangat dan moral pemain untuk aksi seterusnya. Jangan biarkan ia mengganggu persiapan kita. Kita ada empat perlawanan, semuanya ibarat final. Peluang masih ada dan kita perlu berjuang untuk menang semua perlawanan,” ujar Taufik.

Pada perlawanan itu, Terengganu berada di depan menerusi Hafizi Ismail namun dua jaringan pantas pemain kebangsaan Khairul Effendy Bahrin dan Abu Haniffa Hassan memberikan kelebihan 2-1 di separuh masa pertama buat Pahang Rangers.

Norkhairi Abdul Rahman kemudian menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-23 tetapi seminit kemudian Amirrul Izad Adang merapatkan kedudukan 2-3 sebelum Firdaus Ambiah mengembalikan kelebihan dua gol buat Pahang Rangers.

Akil Khalis Adli menjadikan kedudukan 3-4 buat Terengganu pada minit ke-27 namun giliran seorang lagi pemain kebangsaan Harith Naim Mohd Nasir pula meledak untuk menjadikan kedudukan 5-3 memihak kepada Pahang Rangers sebelum Terengganu bangkit dengan dua gol menerusi Alif Mat Amin dan Hafizi untuk mencuri satu mata.

Pahang Rangers ketika ini di kedudukan kedua MPFL 2019 dengan 29 mata, enam mata di belakang Selangor namun beraksi kurang dua perlawanan.

Dengan kelebihan jaringan juga memihak kepada Selangor, ini bermakna Pahang Rangers perlu memenangi baki empat aksi menentang Melaka (15 September), Pulau Pinang (18 dan 29 September) serta Perak (23 September) dengan jaringan besar.

Kredit foto: Pahang Rangers FC