Skuad bawah 23 (B-23) negara mungkin terpaksa melupakan khidmat pemain yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri setelah masa yang ada untuk membuat persiapan makin suntuk dan kem negara tidak mempunyai banyak waktu menunggu pemain tersebut.
Brad Maloney selaku pengendali utama skuad B-23 mengakui status Wan Kuzri bersama kem negara masih samar-samar setelah pemain tersebut yang kini beraksi bersama kelab Akron Zips dalam Liga Universiti di Amerika Syarikat itu gagal dihubungi sejak 24 jam lalu.
“Sejujurnya, masa dah semakin suntuk buat kami dan saya tidak menerima apa-apa berita daripadanya sejak 24 jam lalu.
“Saya akan cuba menghubunginya dan macam saya cakapkan, masa semakin suntuk dan kita kena buat keputusan (skuad terakhir) pada Isnin,” katanya kepada Harian Metro selepas anak buahnya berjaya mengikat Sabah FC dengan 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Likas, Sabtu lalu.
Bagaimana Anda Boleh Hidupkan ‘Vibe’ Tonton Bola Di Kedai Mamak Bersama sooka
Dalam perkembangan tersebut, skuad negara bakal berlepas ke Phnom Penh, Kemboja pada 12 Februari ini bagi menyertai kejohanan AFF B-23 di sana dan terpaksa melupakan khidmat pemain tersebut yang juga merupakan adik kepada Wan Kuzain.
Ketika ditanya mengenai aksi anak buahnya sewaktu menentang Sabah, Brad Maloney akui sangat gembira dengan apa yang dipamerkan anak buah beliau setakat ini.
Jelas pengendali berusia 50 tahun itu, para pemain mampu beraksi dengan baik tanpa berasa gugup untuk bertemu lawan yang lebih berpengalaman biarpun masih muda untuk memberi tentangan sengit buat Sabah.
“Saya gembira dengan prestasi pemain, di mana pemain beraksi tanpa ketakutan dan membuat beberapa gerakan yang mendatangkan peluang terutama di babak pertama.
“Kombinasi pemain juga agak baik dan ini adalah aksi persahabatan pertama kami yang kompetitif. Saya lihat banyak perkara postif berlaku dalam aksi persahabatan itu,” katanya.
Sewaktu di Kemboja nanti, skuad negara bakal berhadapan dengan lawan dari Myanmar, Indonesia, dan Laos bagi Kumpulan B.
Selain itu, skuad B-23 negara ini juga bakal beraksi dalam beberapa kejohanan besar lagi pada tahun ini dengan jadual yang agak padat sepanjang tahun selain membabitkan beberapa pemain utama dari Liga Malaysia (Liga-M).