Pemain jentera serangan Real Madrid, Marco Asensio yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan mengakui sudah bersedia untuk membantu Real Madrid bersaing hebat dengan Barcelona bagi merebut kejuaraan La Liga musim ini.
Asensio langsung tidak beraksi pada musim 2019/20 dan terpaksa berehat panjang selepas beliau mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan Meniscus pada kaki kirinya ketika aksi pra-musim bertemu Arsenal yang berlangsung Julai tahun lalu.
Serangan wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini sehingga menyebabkan saingan bola sepak di seluruh dunia terhenti buat seketika nyata memberikan peluang buat pemain berusia 24 tahun itu untuk pulih sebelum kempen liga berakhir.
”Saya merasa sangat baik. Minggu pertama saya merasakan sangat berbeza apabila kembali menjalani latihan, bersama rakan sepasukan.”
”Saya dapat menyesuaikan diri dengan baik. Lutut saya juga memberikan tindak balas sangat baik dan sejujurnya saya sangat baik secara fizikal,” ujar Asensio menurut laporan Goal.
”Penantian ini cukup panjang. Saya sangat bekerja keras, dan di atas semua itu, saya benar-benar telah banyak bersabar kerana melihat rakan sepasukan berlatih pada setiap hari manakala saya pula menjalani rawatan pemulihan di bilik fisioterapi di mana ia adalah sesuatu yang amat menyakitkan.”
”Tetapi sekarang saya sudah pun bersama rakan sepasukan di padang dan itu merupakan perkara yang penting. Penantian yang sangat berbaloi.”
Dalam pada itu, Asensio turut menjelaskan beliau tidak mahu ketinggalan untuk membantu pasukannya bagi memburu kejuaraan La Liga buat kali ke-34.
”Kami memang mahu saingan La Liga kembali bersambung dan menghadapi perlawanan untuk menentukan gelaran juara. Kami tahu ini bakal menjadi pertandingan hidup atau mati.”
”Untuk setiap perlawanan, kami harus menghadapinya dengan kekuatan penuh, dan kami akan berusaha untuk memenangi baki semua perlawanan,” tambah Asensio lagi.
Selepas mengharungi 27 perlawanan, Real Madrid ketika ini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona yang mengumpul 58 mata.