Manuel Konrad akhirnya disenaraikan buat kali pertama dalam kesebelasan utama Selangor ketika perlawanan menentang Perak dalam aksi Liga Super tempoh hari. Pemain import dari Jerman itu sebelum ini ‘diturunkan pangkat’ ke Selangor 2 kerana faktor kecergasan.
Bagaimanapun kecederaan yang menimpa Tim Heubach membuka peluang untuknya kembali ke skuad utama dan aksi yang ditampilkan oleh pemain tengah tersebut sepanjang 90 minit perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya tempoh hari tentunya berjaya memikat hati penyokong The Red Giants.
Ketua jurulatih, Karsten Neitzel turut mengakui beliau amat berpuas hati dengan persembahan Konrad dan menjadikannya sebagai petanda bahawa ia merupakan perkembangan yang baik buat Selangor untuk perlawanan-perlawanan yang akan datang.
Mempersembahkan barisan pemain Selangor FC malam ini menentang Perak FC!
Manuel Konrad dan Namathevan diturunkan dalam kesebelasan utama buat kali pertama!
Video ini dibawakan oleh @sugarbombhq! #RedGiants#85Years#CreatingALegacy #LigaSuper2021 pic.twitter.com/dCqfG09txm
— Selangor FC (@selangorfc) April 10, 2021
“Ini adalah kali kedua kita turunkan Konrad dalam perlawanan penuh dan kali ini dia diturunkan dalam kesebelasan utama,” ujar Karsten ketika sidang media selepas perlawanan.
“Setakat ini, dia beraksi baik dan diharapkan prestasinya berterusan selepas ini bagi membantu pasukan mencatat lebih banyak kejayaan.”
Konrad yang beraksi di bahagian tengah bertahan dilihat begitu selesa menguasai bahagian tengah dengan corak permainan yang kemas dan berupaya membantu bahagian serangan dengan hantaran-hantaran yang dimulakan dari bahagian tengah.
Pemain sepertinya juga amat diperlukan untuk melakukan kerja-kerja ‘kotor’ bagi serta membantu bahagian pertahanan dengan mematahkan serangan lawan menggunakan kelebihan fizikalnya yang berketinggian 1.87 meter.
Beberapa pemerhati bola sepak mengatakan bekas pemain Dynamo Dresden itu adalah ‘jawapan’ kepada kelompongan atau kelemahan ketara pasukan Selangor untuk beberapa perlawanan kebelakangan ini.
Ia sekaligus menafikan segala ‘khabar angin’ yang mendakwa pemain berusia 32 tahun tersebut tidak lagi berupaya untuk beraksi di pentas tertinggi dan mendorong barisan kejurulatihan menukarkannya dengan pemain import muda dari Ghana, Jordan Ayimbila.
Sejak awal musim, prestasi Selangor ibarat ‘yoyo’ dan gagal mengekalkan konsistensi walaupun dianggap sebagai salah satu pasukan pilihan disebabkan profil cemerlang pemain-pemain import yang menyertai mereka pada termasuklah Konrad yang mempunyai pengalaman beraksi di Bundesliga.
Namun selepas lapan perlawanan, Selangor hanya meraih tiga kemenangan dan sekadar menghuni tangga keenam liga dengan 11 mata.
Kredit Foto: Selangor FC
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Baca juga artikel kami yang lain mengenai Manuel Konrad dan Selangor:
Manuel Konrad Gembira Bermain Untuk Selangor Yang Cukup Terkenal
Kenali Manuel Konrad, ‘Kereta Kebal’ Buatan Jerman Taruhan Selangor
Hukum Pemain Selangor 2, Adakah FAM Tiada Nilai Kemanusiaan?