Manchester United mengesahkan mereka tetap akan membayar gaji semua staf sambilannya walaupun ada kemungkinan baki musim 2019/2020 akan dibatal atau dimain di stadium kosong.
Bercakap mengenai staf sambilan, The Red Devils merujuk kepada staf hari perlawanan dan bukan hari perlawanan seperti marshall stadium, penjaga pintu masuk, penjual buku program hari perlawanan, katering dan sebagainya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh United di laman sesawang rasmi kelab mereka.
Ia susulan pengumuman England FA yang menangguhkan semua perlawanan bola sepak sehingga 30 April disebabkan penularan wabak COVID-19.
Jika mengikut jadual asal, United masih lagi mempunyai empat perlawanan Premier League di Old Trafford jika liga disambung.
Dianggarkan Manchester United mempunyai lebih 3,000 staf sambilan dengan jumlah bayaran gaji hampir £1 juta seminggu.
Tidak cukup dengan membayar gaji staf sambilan ketika perlawanan ditangguh, United juga akan membayar gaji mereka seperti biasa jika mereka bekerja pada hari perlawanan tertangguh yang dimainkan pada tarikh lain.
Naib Pengerusi Eksekutif kelab, Ed Woodward berkata langkah ini seiring dengan hasrat United untuk mengurangkan beban kewangan staf sambilannya.
Ia juga cara kelab itu menghargai sumbangan mereka untuk memberikan servis terbaik kepada penyokong.
“Kami faham situasi sekarang [wabak COVID-19] tidak ideal. Jadi kami mahu berikan sekuriti walau apa pun yang terjadi kepada baki perlawanan musim ini,” kata Woordward lagi.