ESPN telah mengeluarkan satu artikel menarik tentang Isco dan jabatan ‘scouting’ Manchester United.
Pada musim-musim terakhir Sir Alex Ferguson di Manchester United, seorang scout senior pasukan mereka telah diarahkan untuk memantau Isco di Malaga.
Sir Alex Ferguson sukakan pemain muda ini (ketika itu berusia 21 tahun) yang dianggap akan menjadi pemain yang boleh bermain di dalam sistem beliau.
Ketika fasa perubahan dalam bola sepak moden, pemain serba boleh seperti Isco seakan-akan menjadi baka yang boleh menggantikan tipikal pemain tengah kotak ke kotak (box to box) klasik di England.
Namun malangnya, laporan daripada scout tersebut mendapati saiz kepala Isco agak besar berbanding dengan badannya. Laporan tersebut menyebut:
“Dia pemain yang bagus tetapi tidak cukup pantas di dalam padang. Ini kerana, saiz kepalanya terlalu besar untuk badannya.”
Laporan scouting sememangnya kadangkala kurang tepat meskipun mereka bekerja dengan kelab besar.
Kes Isco ini pernah berlaku kepada United ketika Sir Alex mengarahkan pasukan scouting beliau memantau penyerang muda di Atletico bernama Fernando Torres.
Laporan daripada senior scout mereka juga membuatkan nama Fernando Torres dikeluarkan dari senarai pemain untuk dibeli oleh Sir Alex Ferguson.
Selepas itu anda boleh saksikan bagaimana Torres telah menjadi no.9 terbaik dalam bola sepak Eropah ketika kemuncak karier beliau.
Itu juga yang berlaku kepada Isco. Pemain ini diberikan pujian daripada Jose Mourinho. The Special One memuji kualiti pemain-pemain tengah Real Madrid termasuk Isco.
Agak ironi apabila Isco menjadi pemain yang menghancurkan harapan Manchester United dalam final Piala Super Eropah pada 2017.
Kisah ini mengingatkan kita kepada kisah Sir Alex Ferguson dengan Roy Keane. Keane pernah memberitahu yang beliau menghantar banyak borang untuk menyertai akademi kelab-kelab di EPL. Namun kesemuanya ditolak.
Lalu Sir Alex bertanya: “Adakah anda turut menghantar borang ke Manchester United? Siapa pegawai yang menerima borang anda?”
Keane menjawab, beliau tidak menghantar borang ke Manchester United kerana tahu peluang untuk bermain di sana sangat tipis.
Apa yang dapat kita pelajari adalah, pengurus akan menghormati laporan daripada scout yang telah mereka lantik. Setiap orang ada kerja dan kepakaran masing-masing walaupun pengurus sukakan seseorang pemain tersebut.
Namun, teori saintifik dalam dunia scouting kadangkalanya memang banyak yang kurang tepat. Nama pun sudah teori.
Mereka mungkin terlepas Isco dan Fernando Torres, tetapi pasukan pemantau bakat mereka tetap berjaya membantu dalam merekrut ramai bintang bertaraf dunia.
Antara yang paling mengejutkan sudah pastinya Patrice Evra dan Nemanja Vidic yang tidak disangka-sangka akan menjadi pemain sensasi.
Sumber