Laporan daripada akhbar Sepanyol, El Pais mendakwa, ahli lembaga eksekutif Manchester United telah menyuarakan kekecewaan mereka terhadap Sanchez semasa parti makan malam di London.
Menurut laporan itu, Lembaga Pengarah Manchester United mengakui sangat menyesal mendapatkan khidmat Alexis Sanchez musim ini.
Bintang Chile itu berpindah ke Old Trafford menerusi pertukaran pemain, dengan menyaksikan Henrikh Mkhitaryan berpindah kepada Arsenal, dan diberikan kontrak lumayan yang menjadikannya pemain bergaji paling tinggi dalam Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, Sanchez dilihat bergelut untuk membuktikan dirinya layak menerima gaji besar selepas hanya menjaringkan satu gol dalam tujuh penampilan.
Pegawai kelab itu berada di London untuk proses pembidaan hak penyiaran Liga Perdana Inggeris dan mereka membuat penilaian terhadap tindakan Jose Mourinho yang mahukan Sanchez.
Selain gagal beraksi cemerlang di padang, mereka berasakan kelab itu sedang mengalami kerugian selepas terpaksa berbelanja besar untuk yuran perpindahan, yuran ejen dan kehilangan Mkhitaryan.
Sanchez mungkin tidak akan menjadi bebanan kepada mereka namun persaingan dengan Manchester City membuatkan mereka terpaksa berdepan situasi itu.
Kehadiran Sanchez juga menyaksikan perubahan besar dalam struktur gaji di dalam kelab itu yang menimbulkan ketegangan dalam kalangan pemain dan keadaan itu sukar untuk dikawal.
Kegagalan Arsenal untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada musim ini disifatkan oleh pengurus Manchester United, Jose Mourinho sebagai penyebab utama Alexis Sanchez memilih untuk meninggalkan kelab London tersebut.
Jose Mourinho menggambarkan bekas bintang Barcelona dan Arsenal itu sebagai ‘diperlukan’ dan percaya bahawa keinginan pemain berusia 29 tahun untuk beraksi dalam saingan berprestij di Eropah itu menjadi pendorong kepada penghijrahannya ke Old Trafford.
Ketika perpindahanya ke MU heboh diperkatakan, tanda pagar #Alexis7 telah menjadi tanda pagar yang cukup hangat dan mendominasi laman sosial Twitter di seluruh dunia.
Dalam masa yang sama, interaksi yang berlaku mengenai perpindahan pemain tersebut nyata cukup hangat apabila perpindahan tersebut menghasilkan 75% lebih banyak interaksi berbanding perpindahan Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG).