Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menggesa pasukannya supaya mengalih tumpuan serta merta kepada perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Liverpool rabu ini.
Biarpun berpeluang mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris lebih awal, namun Guardiola bertegas dia hanya menumpukan perhatian terhadap dua perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara itu.
City berpeluang menjadi juara England buat kali kelima selepas menundukkan Everton 3-1 hari ini, dan dengan kemenangan ke atas seteru tetangga Manchester United minggu depan membolehkan mereka menjulang trofi Liga Perdana lebih awal.
“Saya sedar orang mula bercakap tentang perlawanan menentang United, namun ketika ini semua keputusan adalah mengenai Liverpool
“Ini kerana kami kini nyaris meraih kejuaraan Liga Perdana dengan hanya satu kemenangan membolehkan City dinobatkan juara England. Namun jika kalah, kami masih mempunyai enam lagi peluang.
“Setakat ini kami masih gembira dengan prestasi kami. Ia penting untuk peminat yang mana mereka adalah istimewa bagi kami. Bagi saya amat penting untuk kami menang tidak kira di mana kami berada.
“Bagaimanapun, apa yang paling penting adalah pertemuan dengan Liverpool. Rabu ini kami perlu berkunjung ke Anfield dengan keyakinan yang tinggi. Kami ada beberapa hari lagi untuk melakukan persediaan,” ujar Guardiola.
Manchester City menjadi pilihan pasukan dari England untuk memenangi Liga Juara-Juara selepas mempamerkan aksi cukup meyakinkan dan penuh kualiti menerusi kelebihan 16 mata dari pasukan tempat kedua United dalam kempen Liga Perdana musim ini.
Sementara itu, baik Liverpool mahupun City, Guardiola berkata, pasukannya perlu bersatu bagi mendapatkan semula rentak selepas kali terakhir mereka beraksi adalah ketika mengalahkan Stoke 2-0 pada 12 Mac lalu.
“Kami bersatu untuk mendapatkan semula kepantasan dan rentak. Ini kali pertama saya selaku pengurus dapat menewaskan Everton.
“Selepas 3 minggu tanpa beraksi anda tidak tahu bagaimana anda akan tunjukkan dan cara kami bermula dari awal perlawanan amat bagus sekali, begitu juga di babak kedua.
“Tidak kira apa yang berlaku anda perlu bermain secara agresif dan cuba mengekalkan bola sekerap mungkin dan itu yang kami telah lakukan.
“Kami tahu di stadium ini, di Goodison Park dan juga Anfield , jika anda tidak memenangi pertarungan bola atau tidak tunjukkan belang, ia sukar, ia hampir mustahil untuk menang,” katanya.