Mampukah James Rodriguez Kembali ‘Menyengat’ Di Everton?

James Rodriguez Carlo Ancelotti Everton

Sekian lama menanggung sengsara ‘diperam’ di Real Madrid, James Rodriguez akhirnya semakin hampir untuk menyertai Everton dan kembali bersatu dengan bekas pengurusnya, Carlo Ancelotti.

Pemain Colombia itu sempat beraksi bersama pengurus Itali itu semasa di Real dan ketika dipinjamkan ke Bayern Munich dan dilaporkan akan tiba di Goodison Park untuk melengkapkan perpindahan bernilai £20 juta (RM110 juta) dengan kontrak selama tiga tahun.

Pemain berusia 29 tahun itu jelas bukan pilihan untuk beraksi dalam kesebelasan utama di Santiago Bernabeu kerana formasi atau sistem yang diterapkan Zinedine Zidane dikatakan tidak bersesuaian dengannya. Kontraknya akan tamat pada Jun 2021 dan sudah tentu juara La Liga tersebut tidak mahu melepaskannya secara percuma.

Semasa dipinjamakan selama dua musim di Bayern, CEO kelab, Karl-Heinz Rummenigge melontarkan pujiannya kepada James dan percaya penjaring terbanyak Piala Dunia 2014 itu mampu untuk kembali berada pada prestasi terbaiknya di Jerman.

Malangnya kelab Bundesliga tersebut tidak mengaktifkan pilihan untuk membelinya secara tetap dengan harga €42 juta yang dianggap berpatutan dan terpaksa kembali ke Madrid.

Ia disebabkan Bayern Munich mempunyai polisi dan strategi dalam membina pasukan untuk jangka masa panjang. Tambahan pula pemain seperti Robert Lewandowski, Thomas Muller, Jerome Boateng dan Manuel Neuer sudah cukup sebagai pemain berpengalaman untuk membimbing pemain-pemain muda.

Malah mereka juga merasakan, pembelian James secara tetap akan membantutkan pembangunan pemain-pemain muda lain seperti Serge Gnabry, Thiago Alcantara, Leon Goretzka dan begitu juga dengan Alphonso Davies yang beraksi di posisi yang sama di bahagian kiri.

Oleh yang demikian, Ancelotti kini berpeluang untuk membina pasukannya dengan membawa masuk James dan beliau sememangnya meminati kemampuan James yang boleh menjadi jentera tengah yang penting buat Everton.

Kelab Marseyside itu kini dilihat akan ketandusan kreativiti di bahagian tengah dengan Glyfi Sigurdsson juga bergelut untuk mempamerkan konsistensi dalam setiap perlawanan. Apa yang jelas, Ancelotti tentu tahu apa yang terbaik untuk pasukannya dan beliau sememangnya tahu potensi besar yang dimiliki bintang Colombia tersebut.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai bola sepak Inggeris:

Leave a Reply