Malaysia Kalahkan Maldives Di Cheras, Jaring 7 Gol Dalam 2 Perlawanan

Malaysia

Malaysia menutup siri perlawanan persahabatan sebelum sepak mula Piala AFF 2022 dengan nota kemenangan selepas menewaskan Maldives dengan jaringan 3-0.

Bertemu di Stadium KLFA, Cheras, skuad kendalian Kim Pan-gon memastikan persiapan memburu kejuaraan Asia Tenggara dalam keadaan baik dengan merakamkan dua kemenangan daripada dua aksi persahabatan.

Rekod baik di Cheras ini rentetan daripada kemenangan yang dilakarkan ketika menewaskan Kemboja 4-0 di Bukit Jalil.

Di separuh masa pertama, aksi yang dipamerkan kedua-dua pasukan dilihat seimbang dengan tempo permainan tidak terlalu laju.

Tempo permainan yang ditampilkan oleh Malaysia dan Maldives tidak terburu-buru dalam mencari gol.

Malah ada beberapa ketika, Maldives seolah menjemput Malaysia ke kawasan mereka untuk menyerang.

Serangan berbahaya yang pertama hanya muncul ke-10 untuk pasukan negara selepas percubaan yang terhasil menerusi hantaran lintang berjaya dihalang oleh penjaga gol Maldives – Hussain Shareef.

Malaysia akhirnya berjaya mendahului selepas kesilapan pertahanan Maldives telah memberi ruang kepada Darren Lok untuk melakukan jaringan.

Tolakan mudah yang dilakukan oleh Lok meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-24.

Separuh masa pertama menyaksikan tidak banyak percubaan bahaya dilakukan dengan Maldives hanya sekali-sekala sahaja datang mengancam gawang Syihan Hazmi.

Separuh masa kedua menyaksikan Malaysia lebih garang dengan jentera serangan yang diketuai Faisal Halim begitu ampuh mengancam pintu gol Maldives.

Lok mempunyai peluang untuk menambah koleksi jaringannya pada malam ini tetapi apabila berada di depan gol, tolakannya tidak menepati sasaran walaupun ianya dilakukan dari jarak dekat.

Hasilnya, 40 minit selepas gol pertama berjaya dirakam, jaringan kedua pula muncul dengan Faisal muncul sebagai penjaring.

Sekali lagi, kesilapan pertahanan Maldives berjaya membuka ruang untuk Faisal mara dan seterusnya menolak bola melepasi Hussain.

Brendan Gan turut mencuri tumpuan dengan melakukan percubaan akrobatik di dalam kotak penalti namun usahanya jauh dari sasaran.

Faisal jelas cukup berbahaya buat Maldives apabila percubaan lencong dari luar kotaknya hampir saja menerjah jaring – tetapi Hussain muncul untuk menepis bola itu keluar.

Maldives akhirnya berjaya mempunyai percubaan pertama mereka dalam perlawanan ini pada minit ke-74 tetapi serangan itu tidak mampu untuk buatkan Syihan ‘berpeluh’ kerana ianya tidak menepati sasaran.

Malaysia terus mengasak kubu Maldives dengan pelbagai siri serangan termasuklah percubaan Lee Tuck pada minit akhir permainan yang terkena tiang menerusi tandukan terbang.

Namun, Tuck berjaya juga menebus kekecewaanya dengan berjaya merakamkan jaringan dengan penyudah jarak dekat untuk menjadikan jaringan 3-0.

Keseluruhannya, Malaysia menunjukkan kualiti persembahan yang begitu mantap terutamanya di separuh masa kedua untuk menewaskan Maldives. Pasukan pelawat memang tak mampu nak halang kehebatan Harimau Malaya.

Keputusan penuh, Malaysia 3-0 Maldives.

Kesebelasan utama

Malaysia: Syihan Hazmi (penjaga gol), Azam Azmi, Dominic Tan, V. Ruventhiran, Sharul Nazeem, Faisal Halim, Darren Lok, Brendan Gan, Safawi Rasid (ketua pasukan), Mukhairi Ajmal, Khuzaimi Piee

Maldives: Hussain Shareef (penjaga gol), Samooh Ali (ketua pasukan), Ahmed Numaan, Hussain Yoosuf, Ibrahim Aisam, Mohamed Sakhaau, Haisham Hassan, Hassan Ahmed, Ibrahim Hussainm Hassan Shifaz, Hussain Nihaan

Kredit gambar: Syamil Rosli – PFA Malaysia

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN