Mengapa Import Filipina Jadi Sasaran Penang Sekali Lagi?

Penang FC Filipina hubungan pemain import

Timbul persoalan apabila pemain import dari Filipina sekali lagi menjadi sasaran Penang FC untuk slot Asean dalam saingan musim depan.

Untuk musim 2022, Penang telah menggunakan khidmat pertahanan, Christian Rontini – juga pemain dari Filipina, bagi mengukuhkan benteng, namun segalanya tampak kurang menjadi untuk skuad Harimau Kumbang.

Pemain yang baru berusia 23 tahun itu dilihat mentah dalam mendepani onak duri saingan Liga Super yang mungkin terlalu kompetitif buatnya.

Sebelum menyertai Penang, beliau beraksi bersama Azkals Development Team, pasukan yang seakan-akan projek Harimau Muda di Malaysia satu ketika dahulu. Pasukan itu bersaing di Philippines Football League (PFL).

Di usia yang terlalu muda dan perlu bermain sebagai tonggak import di posisi penting, Rontini ‘rebah’ dalam diam. Tiada sumbangan yang bagus mampu dijelmakannya sepanjang semusim beraksi di Pulau Mutiara.

Malah, mereka menamatkan musim di kedudukan tercorot liga selepas musim memberangsangkan pada 2021 – berada di tangga ketiga.

Beliau gagal mengisi kekosongan yang telah ditinggalkan oleh pemain import dari Indonesia, Ryuji Utomo yang dipinjam dari Persija Jakarta.

Penang dan Filipina berpisah tiada. Mungkin itu gambaran yang boleh dikatakan jika benar khabar tentang penyertaan Curt Dizon. Perkhabaran tersebut dikongsi oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran di Twitternya.

Menurutnya, selain Dizon, Penang juga dalam usaha untuk membawa masuk dua lagi import iaitu untuk posisi pertahanan, Hussein El Dor dan pemain tengah, Ousmane Fane. Kedua-duanya pernah beraksi di Liga M.

Mengenai Curt Dizon, pemain ini merupakan salah satu tonggak serangan kebangsaan Filipina yang kini beraksi bersama United FC sejak tahun lalu.

Beliau pernah beraksi bersama Crystal Palace B-16, sebelum berhijrah menyertai beberapa pasukan tempatan di Filipina sejak tahun 2014. Beliau adalah pemain yang boleh beraksi di semua posisi di jentera serangan.

Sebelum Rontini menyertai Penang, khabar angin mengatakan Justin Baas, pemain kacukan Filipina-Belanda yang akan diterbangkan ke sana sebelum disahkan menyertai pasukan bermasalah, Melaka United. Sebelum Rontini mahupun Baas, Penang pernah memiliki pemain import dari Filipina iaitu Mark Hartman yang telah menyertai pasukan itu pada musim 2017.

Apa kaitan antara Filipina dan Penang? Sudah beberapa pemain Filipina dikaitkan mahupun dirantai mereka sebelum ini. Mungkin ini faktornya.

Mampu digajikan, kejayaan & geografi pendorong?

Pertama, PFL adalah liga yang kecil mengandungi hanya tujuh pasukan bertanding. Mungkin atas faktor ini, nilai pasaran pemain dari sana lebih rendah berbanding pemain dari liga yang lebih menonjol di rantau Asean.

Jika melihat kepada nilai pasaran liga menurut Transfermarkt.com, PFL diletakkan pada €3.37 juta (RM15.72 juta) berbanding Liga Super Malaysia yang bernilai €40.30 (RM188 juta). Sangat jauh jurang perbezaannya.

Malah, jika diamati lagi, nilai pasaran Rontini ketika menyertai Harimau Kumbang adalah €75,000 (RM349,877) dan ia adalah sama dengan Dizon. Ini memungkinkan nilai kontrak atau gaji yang ditawarkan kepada mereka tidak jauh berbeza. Yang membezakan antara kedua-dua pemain tersebut adalah dari segi usia dan pengalaman – sedikit kelebihan buat Dizon.

Penang Buat Rombakan Besar, 14 Pemain Musim Ini Sah Tidak Disambung Kontrak

Oleh itu, Penang yang memiliki bajet lebih kecil berbanding pasukan lain boleh mempertimbangkan dari segi implikasi kewangan merekrutnya.

Kedua, faktor kejayaan beberapa pemain Filipina dalam membina nama di Liga M, mungkin menarik minat mereka untuk mencuba nasib di sini.

Penjaga gol KL City, Kevin Mendoza, Manuel Ott (Kedah), Carli de Murga (JDT) dan Kevin Ingreso (Sri Pahang) mungkin menjadi sumber rujukan kepada pemain-pemain dari Filipina untuk membina kerjaya di sini.

Mendoza berhasil membantu KL City mencipta sejarah dengan mara sehingga ke pentas final Piala AFC 2022. Ott pula sentiasa menjadi rebutan pasukan-pasukan yang bersaing dan musim depan beliau bakal melangkah kaki ke kelab penuh tradisi, Kedah. De Murga pula menyertai pasukan yang meriah dengan kejuaraan di Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Dan faktor ketiga, mungkin tarikan geografi Pulau Pinang antara yang dipertimbangkan. Sebagai pulau tarikan pelancongan di Malaysia, tentunya ia menarik perhatian orang luar negara untuk datang. Tambahan pula, Filipina juga merupakan antara negara di dunia yang terbentuk daripada gugusan pulau-pulau selain Fiji, Papua New Guinea dan Indonesia.

Faktor terakhir ini, mungkin hanya pihak pengurusan yang ada jawapan, sama ada pemain-pemain dari Filipina ini di bawa oleh ejen yang sama?

Penyokong mungkin sedikit mempersoalkan mengapa pemain dari Filipina masih menjadi pilihan dek kerana impak negatif yang dibawa Rontini sebelum ini. Namun, terpulang kepada barisan kejurulatihan untuk membuktikan pelaburan untuk musim 2023 akan memberikan hasil yang lebih baik terutamanya Dizon yang merupakan seorang penyerang!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN