Kapten Manchester United, Harry Maguire menegaskan beliau tetap mempunyai peranan penting untuk dimainkan selepas The Red Devils menyingkirkan Real Betis untuk mara ke pusingan suku akhir Liga Europa (UEL) pada Khamis.
Maguire diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama dan menyarung lilitan kapten yang lebih banyak diberikan kepada Bruno Fernandes sepanjang musim ini.
Sejak berakhir Piala Dunia, pemain pertahanan yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30 itu hanya memulakan lima perlawanan sahaja.
Namun ia tidak menghalang pengurus England, Gareth Southgate untuk terus menyenaraikan namanya dalam panggilan terbaharu skuad Three Lions bagi aksi antarabangsa.
“Saya mempunyai peranan yang penting sama ada dalam atau luar padang di kelab ini dan setiap hari saya sedaya upaya menjadikan kelab ini lebih berjaya tidak kira saya main atau tidak,” ujar Maguire kepada BT Sports selepas kemenangan 5-1 United secara agregat itu.
“Jelas sekali saya memang mahu main dan memulakan perlawanan lebih banyak selepas ini, tetapi saya tetap menjalankan tugas saya tak kira dalam atau luar padang.
“Sememangnya saya gembira dalam bermain malam ini dan membawa pasukan ini [ke pusingan seterusnya] yang menjadi perkara mustahak buat saya sendiri dan juga rakan sepasukan yang lain.”
👀"Harry Maguire on his situation: "I've an important role on and off the pitch at Man Utd, so every day I try to contribute to the success of this club, whether I play or not. That's my priority now", tells BT" [@FabrizioRomano]#MUFC #ManUtd #ManchesterUnited #ManUnited pic.twitter.com/iud3NsI1NN
— RealRedsTalk (RRT) (@RealRedsTalk1) March 17, 2023
Maguire menyertai United dengan harga £80 juta pada Ogos 2019, namun bergelut untuk mendapatkan minit permainan pada musim ini sejak ketibaan Erik ten Hag yang lebih gemar menggandingkan Raphael Varane dan pembelian baharu Lisandro Martinez.
Dalam pada itu, Facundo Pellistri turut diberi peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama buat kali pertama dan Ten Hag mengakui beliau berpuas hati dengan aksi pemain berusia 21 tahun itu yang sudah beraksi dalam penampilan ketujuhnya untuk United.
“Saya rasa semua pemain telah menjalankan tugas mereka dengan baik. Sekali lagi pemain-pemain yang diturunkan telah bermain dengan baik. Jadi kamu boleh lihat kami bukan hanya ada 11 orang pemain di dalam skuad,” ujar Ten Hag.
“Untuk Facundo [Pellistri], saya gembira melihatnya beraksi malam ini. Dia telah menunjukkan prestasi yang baik semasa latihan, tetapi aksi sebenar adalah berbeza. Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahannya.”