‘Mahu Berbelanja Besar’ – 5 Sebab JDT Jadi Kelab Paling Dibenci Di Malaysia

Tewas kepada KL City FC di perlawanan akhir Piala Malaysia, JDT telah mencipta fenomena tersendiri di dalam cerita bola sepak Malaysia.

Bukanlah untuk disrespect peminat setia skuad warga kota. Hakikatnya arena mereka sendiri sering kali dipenuhi oleh penyokong lawan.

Tetapi selepas menjuarai Piala Malaysia, tiba-tiba KL City FC mempunyai ramai penyokong. Perkara itu diakui sendiri oleh jurulatihnya baru-baru ini, Bojan Hodak.

“Akhirnya Kuala Lumpur Ada Ramai Penyokong” – Bojan Hodak Bangga Dengan Transformasi KL City

Salah satu teori yang menyebabkan KL City FC secara tiba-tiba mempunyai ramai penyokong adalah kerana penyokong bola sepak di Malaysia membenci JDT. Dakwaan tersebut mungkin ada benarnya berdasarkan reaksi rata-rata non-JDT fans di media sosial.

Berikut adalah antara sebab-sebab yang paling munasabah mengapa situasi sebegitu berlaku.

JDT sukar dikalahkan

Salah satu sebab JDT menjadi pasukan yang paling dibenci adalah kerana JDT jarang kalah. Di saingan Liga Super pada musim ini misalnya, JDT hanya tewas sekali, iaitu kepada Terengganu FC pada 24 April lalu.

Ini bermakna musim ini JDT hanya tewas dua kali, selepas kekalahan kepada KL City di perlawanan akhir Piala Malaysia. Sebelum itu JDT juga memiliki rekod tanpa kalah luar biasa ketika masih beraksi di Larkin.

Musim 2020 pula menyaksikan JDT tidak tewas walau satu perlawanan liga pun. Musim 2019, mereka hanya tewas sekali selepas dikejutkan oleh PJ City FC.

Saingan Liga Super 2018, JDT turut tewas hanya sekali iaitu kepada KL City FC – dalam perlawanan yang diadakan selama dua hari. 

Ini bermakna di dalam tempoh empat tahun ini, JDT hanya mengalami tiga kekalahan! Melihat JDT kalah ibarat menang loteri bagi sesetengah pihak.

Jumlah kejuaraan

Sejak melalui revolusi di bawah kepimpinan Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) pada 2013, tidak ada pasukan lain yang melalui kejayaan demi kejayaan seperti JDT.

Lawan datang silih berganti, namun JDT ibarat gagal disekat untuk menjulang trofi demi trofi saban musim.

Sejak sembilan tahun lalu, JDT kini telah merangkul lapan kejuaraan Liga Super Malaysia secara berturut-turut, bermula pada musim 2014, dan enam kali juara Piala Sumbangsih.

Selain itu, JDT juga pernah menjuarai Piala Malaysia pada 2017 dan 2019, dan kejuaraan Piala FA pada 2016.

Tidak harus dilupa juga adalah kejuaraan Piala AFC yang cukup bersejarah yang diraih pasukan dari selatan itu pada 2015.

Dominasi JDT begitu ketara sehingga menjadi satu-satunya pasukan dari negara ini yang mampu bersaing di pentas tertinggi Asia di pertandingan AFC Champions League. Siapa sahaja akan jealous dengan kejayaan sebegini.

Kewangan yang kukuh

Masalah kewangan dan tunggakan pembayaran gaji masih lagi menghantui bola sepak Malaysia sehingga ke hari ini – walaupun sudah bergelar FC.

Di Malaysia, JDT pula dianggap sebagai kelab yang memiliki perancangan kewangan yang kukuh.

Sebagai pemain bola sepak profesional di Malaysia, antara cabaran terbesar adalah untuk memastikan gaji dibayar dengan tepat pada setiap bulan.

Mari kita jujur dengan diri kita. Tidak banyak kelab bola sepak di negara ini yang mampu memberikan jaminan dan kestabilan kewangan dengan membayar gaji tepat pada waktunya.

Di JDT, pemain tahu gaji mereka akan dibayar tepat pada masanya. Jadi mengapa mahu merisikokan diri sekiranya JDT berminat dengan khidmat mereka? Anehnya acap kali, JDT dituduh mahu merembat ubi pasukan lawan.

JDT adalah Real Madrid Malaysia

JDT juga digelar sebagai Real Madrid Malaysia.  Perkara itu pernah dinyatakan sendiri oleh bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf ketika dipelawa oleh TMJ untuk mengadakan lawatan singkat di tempat latihan dan kemudahan-kemudahan lain JDT pada 2015.

“Saya gelarkan mereka sebagai Real Madrid Malaysia kerana penyokong mereka mampu untuk penuhi stadium di semua perlawanan dan juga dapat menarik pemain terbaik,” katanya.

Bagi bekas jurulatih UKM FC, Suleiman Hussin pula, JDT digelar Real Madrid Malaysia kerana ia adalah kelab dambaan pemain-pemain muda.

Katanya, jika pemain di Eropah amat mendambakan untuk bergelar pemain Real Madrid, begitu jugalah yang berlaku di Malaysia dengan setiap pemain tempatan mengimpikan untuk beraksi bersama JDT.

Kekuatan JDT yang menjadi magnet pemain-pemain terbaik dari dalam negara membuatkan ramai tidak senang. Tidak kurang yang melabel JDT perosak bola sepak Malaysia kerana perkara itu.

Mahu berbelanja besar

Kenyataan terkini oleh TMJ seharusnya membuatkan pasukan-pasukan lain merasa gentar. Ia juga tidak akan digemari oleh kebanyakkan penyokong lawan.

Menurut TMJ  selama tiga tahun ini mereka mungkin [begitu] selesa dengan keadaan pasukan dan [kekalahan kepada KL City FC] merupakan ‘wake up call’ buat baginda untuk kembali menjadikan pasukan ini lebih bersedia untuk musim yang akan datang.

“Tetapi kini selepas apa yang terjadi, kami akan mula berbelanja semula kerana kami sudah dicabar. Ianya akan menjadikan kami lebih bermotivasi untuk bertanding tahun hadapan.

“Saya anggap kekalahan adalah positif untuk JDT. Kami akan menjadi lebih obses untuk memperbaiki kesilapan kami dan menguatkan lagi pasukan ini,” kata TMJ.

Di mata kebanyakkan orang, apa yang dikatakan oleh TMJ ini mungkin sekadar ‘cakap besar’ – kerana JDT dianggap sebagai kelab kaya yang mampu berbelanja .

Hakikatnya ia adalah lebih kepada motivasi daripada pemilik kelab itu untuk menjadikan JDT lebih berdaya saing.

Ia bukan mengenai siapa banyak wang untuk dibelanjakan. Tetapi bagaimana kelab anda menguruskan perbelanjaan. Mungkin penyokong-penyokong lawan yang membenci JDT harus bertanyakan soalan tersebut kepada kelab masing-masing.

Rumusan: Benci kerana sayang?

Berdasarkan lima sebab di atas tiada sebab mengapa JDT harus dibenci. Bukankah ia sepatutnya menjadi penanda aras untuk kelab-kelab lain bangkit menjadi lebih baik?

Atau mungkinkah benci kerana sayang? Apa yang dilakukan JDT sehingga mulai mengubah mentaliti dan landskap bola sepak di dalam negara sepatutnya lebih dihargai.

Leave a Reply