‘Bukanlah Pengganti Pemain Tengah’ – Arif Aiman Akhirnya Tiba Ke Kem Harimau Malaya

Arif Aiman Hanapi JDT 2021 Harimau Malaya AFF 2020

Semuanya BOLA baru mengeluarkan komen Tan Cheng Hoe yang tiada panggilan baharu untuk Harimau Malaya, namun secara tiba-tiba, nama Arif Aiman Hanapi diumumkan antara pemain baharu yang dipanggil.

Dengan tidak semena-mena, dua pemain baharu telah dipanggil menyertai kem skuad kebangsaan, namun ia bukanlah pengganti untuk dua pemain yang tercedera, Akram Mahinan dan Kenny Pallraj. Arif Aiman dan Kalamullah Al-Hafiz adalah pengganti kepada Mohamadou Sumareh serta Azri Ab Ghani yang tercedera.

Namun, ketibaan pemain meningkat naik dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman dijangka mampu melonjak semangat di kem skuad kebangsaan. Sewajarnya namanya telah tersenarai sejak awal lagi, namun atas sebab-sebab tertentu, namanya telah disisihkan oleh Cheng Hoe sebelum akhirnya kembali tersenarai di saat akhir.

Pemain berusia 19 tahun itu dijangka akan memainkan peranan penting di Piala AFF nanti walaupun tiba sebagai pemain terakhir di kem Harimau Malaya. Kelincahannya dan prestasi baiknya bersama JDT di Liga Malaysia musim ini adalah taruhan terbaik betapa berpotensinya beliau untuk menjadi pemain penting.

Para penyokong juga dilihat menyambut baik panggilan saat akhir buat Arif Aiman walaupun sebelum ini beliau dikatakan disisih akibat keletihan. Mampukah beliau menjadi pemusnah harapan pasukan lawan nanti?

Arif Aiman telah tampil 10 kali dalam saingan Piala Malaysia dan meledak satu gol, sementara dalam saingan Liga Super pula, beliau telah tampil bermain sebanyak 21 kali dan mencetak dua gol. Sejujurnya, mampukah beliau meneruskan prestasi baiknya seperti di Liga Malaysia dalam saingan ‘Piala Dunia Asean’ ini?

Akram Mahinan Antara 5 Pemain Yang Boleh Dibawa Harimau Malaya Ke Piala AFF Suzuki

Begitupun, isu sebenar masih belum selesai iaitu, siapa pengganti untuk dua posisi pemain tengah bertahan? Atau adakah Cheng Hoe memiliki perancangan taktikal baharu untuk saingan Piala AFF Suzuki 2020 nanti?

Sebagaimana yang diketahui, Cheng Hoe adalah pengendali yang menggemari formasi dengan double pivot di jentera tengah dengan salah seorang akan bersifat lebih defensif dan seorang lagi akan menjadi pencatur buat pasukan. Dua pemain yang tinggal iaitu Baddrol Bakhtiar dan Mukhairi Ajmal lebih kepada peranan pencatur.

Pada edisi lepas, Cheng Hoe mempertaruhkan Akram Mahinan dan Syamer Kutty Abba untuk posisi tersebut.

Mungkin salah satu penyelesaian yang ada buat masa ini dengan tidak membuat panggilan kecemasan adalah meletakkan Junior Eldstal di posisi tersebut. Asalnya beliau adalah pemain tengah bertahan, namun bersama Chonburi FC di Thai League 1 musim ini, beliau hanya tampil sebagai bek tengah dalam 13 penampilannya.

Tidak pasti apa perancangan Cheng Hoe, namun mungkin ini yang sedang dirangkanya buat Harimau Malaya.

Leave a Reply