Situasi skuad kebangsaan agak kritikal apabila kehilangan dua pemain tengah bertahan, namun Tan Cheng Hoe masih kekal tenang dan memilih untuk gunakan apa yang beliau ada tanpa membuat panggilan kecemasan.
Kehilangan secara tiba-tiba Akram Mahinan dan Kenny Pallraj akibat kecederaan menyaksikan skuad Harimau Malaya kini hanya tinggal dua pemain untuk posisi tengah iaitu Baddrol Bakhtiar dan Mukhairi Ajmal Mahadi.
Adakah pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe sudah cukup berpuas hati dengan hanya membawa dua pemain tengah? Risikonya agak besar kerana dua tempat itu wajar diisi semula dengan pemain tengah.
Senarai 28 Pemain Ke Kem Latihan Pusat Skuad Harimau Malaya Menjelang Piala Suzuki AFF 2020
Berikut senarai nama pemain yang dipanggil oleh Tan Cheng Hoe untuk menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya.
Baca penuh di https://t.co/YzdWvYiiwt#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/zNJGLEqncd
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 17, 2021
Siapa yang akan memainkan watak pemain tengah yang lebih defensif di saingan Piala AFF Suzuki 2020 nanti? Jelas sekali ia bukan peranan sebenar kedua-dua pemain, Baddrol Bakhtiar mahupun Mukhairi Ajmal. Dalam senarai bersedia, tiga pemain disenaraikan tidak boleh beraksi di posisi Akram Mahinan dan Kenny Pallraj.
Mereka adalah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz, bek tengah, Rodney Calvin dan pemain sayap, Hakimi Abdullah.
Mungkin satu perkara yang boleh dilakukannya tanpa membuat panggilan kecemasan adalah memberikan posisi itu kepada Junior Eldstal dan memanggil Rodney Calvin untuk mengukuhkan semula posisi bek tengah.
Bercakap kepada wartawan semalam, Cheng Hoe memaklumkan tiada panggilan baharu akan dilakukan oleh kem skuad kebangsaan untuk menggantikan kedua-dua pemain itu. “Buat masa ini, kita tak panggil pemain lain untuk menggantikan mereka, tetapi tumpu dengan pemain yang sedia ada [di kem skuad kebangsaan].”
"Akram mengalami kecederaan koyak otot pangkal paha dan Kenny pula koyak ligamen lutut, ambil masa panjang untuk pulih."#AWANInews #AWANIpagi https://t.co/1sY8JdLg5Q
— Astro AWANI (@501Awani) December 1, 2021
“Akram mengalami kecederaan koyak otot pangkal paha dan Kenny pula koyak ligamen lutut, menurut doktor ia mengambil masa panjang untuk pulih. Jadi kita terpaksa melupakan khidmat kedua-dua pemain tengah ini.
“Kita mengharapkan pemain lain bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk harungi kempen kali ini. Kita nak lihat pasukan melakukan lebih baik berbanding edisi sebelum ini. Kita harap apabila tiba di Singapura nanti, semua bersiap sedia dengan tahap keyakinan yang tinggi untuk hadapi cabaran Piala AFF,” jelasnya lanjut.
Pada edisi 2018, Malaysia mara ke pentas final namun dikecewakan oleh Vietnam dengan keputusan 2-3 secara agregat. Pengurusan skuad kebangsaan mensasarkan yang skuad kebangsaan akan mara ke final sekali lagi.
Namun, dengan apa yang berlaku seperti kesuntukkan masa akibat saingan Piala Malaysia yang baru berakhir dan kehilangan ramai tonggak utama pasukan, adakah realistik untuk meletak sasaran mara ke pentas final?
Perlukah Cheng Hoe kekal tenang dengan barisan pemain sedia ada dan tidak membuat panggilan kecemasan? Mungkin pemain seperti Afiq Fazail, Nor Azam Azih atau Khairu Azrin Khazali boleh dipertimbangkan?