‘Chant’ Shukor Bab* Antara 12 ‘Warna-Warni’ Sepanjang 24 Tahun Karier Shukor Adan Di Liga Malaysia

Shukor Adan KL City FC 2021 Bersara

Berusia 42 tahun, pemain berpengalaman, Shukor Adan akhirnya mengumumkan persaraannya daripada dunia bola sepak selepas 24 tahun membanting tulang sebelum pentas final Piala Malaysia membuka tirainya.

Pengumuman tersebut dilakukannya di sidang media pra perlawanan dan barangkali sudah rezeki buatnya, KL City FC menghadiahkan trofi Piala Malaysia yang kelima sepanjang kariernya dan beliau juga turun beraksi.

Pemain kelahiran Melaka ini merupakan pemain yang vokal dan diketahui commanding dalam padang. Beliau juga memiliki permainan yang keras dan sentiasa menghantui mana-mana pemain yang menentangnya.

DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atau Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut membuat satu ‘tribute posting’ kepada Shukor Adan di laman Instagramnya, “Terima kasih kerana menjadi inspirasi. Selamat berehat legenda.”

Berikut antara 12 corat-coret karier Shukor Adan – sempena nombor jersinya, sepanjang 24 tahun beraksi:

Karier profesional bermula dengan Negeri Sembilan

Uniknya anak kelahiran Melaka ini, beliau tidak bermula di negeri kelahirannya, malah hanya beraksi bersama Melaka United di usia 40 tahun iaitu dua tahun lalu. Beliau mula bermain dengan Negeri Sembilan di usia 18 tahun. Menurut perkongsiannya, beliau ada menerima tawaran untuk menyertai Pulau Pinang ketika itu.

Hubungan ‘adik-abang’ dengan Azman Adnan

Memang diketahui, kedua-dua pemain ini mula berkenalan di Negeri Sembilan ketika Azman Adnan menyertai mereka pada musim 2000. Menurut Shukor Adan mengenai pertemuan pertama mereka, beliau teruja dapat bermain bersama idolanya dan tidak disangka-sangka daripada idola, mereka selepas itu seperti ‘adik-abang.’

“Dia sememangnya idola saya ketika saya hadir di Negeri Sembilan malah hubungan kami umpama abang adik sehingga kami ke Selangor pada 2002 dan saya cukup mengaguminya sehingga sekarang. Saya bertuah dapat diletakkan dalam kesebelasan utama bersamanya,” ujar Shukor Adan mengenai hubungan mereka berdua.

Bermain dengan tiga generasi dan era berbeza

Beliau mula bermain di usia remaja di tahun 1995. Boleh dikatakan, beliau melalui tiga dekad yang berbeza. Pengalamannya sudah tentunya bernilai. Pemain sepertinya yang masih beraksi di Liga Malaysia kini antaranya, Indra Putra Mahayuddin (KL City FC), Amri Yahyah (Sabah FC) dan Rames Lai Ban Huat (Kuching City FC).

‘Menuntut’ daripada  B. Rajinikandh dan Khairul Anuar Baharom

Beliau mengakui, karekternya banyak dipengaruhi oleh dua individu iaitu B. Rajinikandh dan juga Khairul Anuar Baharom. “Dia [Rajinikandh] banyak mengajar saya cara membaca permainan yang betul tambahan pada waktu itu saya beraksi di bahagian tengah,” ujarnya mengenai idolanya dalam dunia bola sepak sejak dahulu.

“Khairul pula menjadi contoh dalam soal semangat juang buat pasukan apabila karakternya yang cukup keras dan tidak kenal erti mengaku kalah,” tambahnya dan Azman Adnan ada berkata yang Shukor Adan lebih banyak ‘menuntut’ perangai dan sikap dengan Khairul Anuar Baharom yang diketahui sangat keras di padang.

Dikenang sebagai kapten treble Selangor

Menyertai The Red Giants pada 2002, pemain yang sangat commanding di dalam padang ini telah dilantik menjadi kapten mereka pada musim 2005 ketika di era Bambang-Elie Aiboy untuk membawa kejayaan treble terakhir ke bumi Darul Ehsan. Selangor menjuarai saingan Liga Perdana, Piala FA dan juga Piala Malaysia.

Selepas penurunan mendadak prestasi Selangor sejurus kejuaraan treble itu, Shukor Adan telah memilih untuk meninggalkan Selangor pada penghujung musim 2008. Beliau hampir menyertai pasukan luar yang bertanding di Liga Malaysia, DPMM Brunei pada 2009 sebelum membuat ‘u-turn’ untuk kembali ke Negeri Sembilan.

Hadiahkan Negeri Sembilan kejuaraan Piala Malaysia

Kembalinya dengan seribu rahmat. Dengan auranya sebagai pemimpin di dalam padang, beliau memberikan Negeri Sembilan kejuaraan yang sangat mereka dambakan. Dua kali sebelum itu, mereka gagal di pentas final iaitu pada edisi 2000 dan 2006. Kali terakhir skuad Jang memenanginya adalah kira-kira 61 tahun dahulu.

Empat tahun di bumi beradat, tiga kali berturut-turut mereka melangkah ke final Piala Malaysia iaitu pada edisi 2009, 2010 dan 2011, malah mereka menjuarai dua daripadanya. Apa lagi mampu anda katakan kepadanya?

Chant ‘Shukor Bab*’ daripada penyokong Selangor

Ini salah satu yang menarik yang terjadi dalam kariernya. ‘Chant’ atau sorakan provokasi pemain sebenarnya jarang-jarang berlaku dalam saingan Liga Malaysia. Begitupun, Shukor Adan ada ‘lagu’ khasnya yang tersendiri.

Penyokong Selangor yang berang dengan tindakannya menggunakan tangan menafikan gol dan menyekat langkah mereka ke final dalam aksi separuh akhir Piala FA 2010 telah mencipta satu chant iaitu “Shukor Bab*”.

Shukor Adan Beri Melaka United Tiga Hari Selesaikan Isu Gaji Tertunggak

“Kamu hanya Shukor Adan yang berusia 40 tahun”

Apabila bekas Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), YB Damian Yeo keluarkan kenyataan sebegitu, ia seperti menggambarkan tiada rasa hormatnya dan persatuan atas kudrat pemain lama seperti Shukor Adan.

Ia berpunca daripada tindakan pemain itu yang memfailkan afidavit terhadap persatuan itu untuk menuntut tunggakan gaji dan bonus musim 2019. Shukor Adan juga merupakan kapten yang lantang bersuara untuk haknya dan rakan sepasukan yang tidak dibayar gaji dikatakan sudah menjengah ke lima bulan ketika itu.

Tunggakan gaji tersebut menyaksikan Shukor Adan meninggalkan pasukan ketika mereka bersaing di suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Pahang yang menyaksikan mereka tewas 0-3. Beliau selaku kapten telah tampil ke depan untuk menyuarakan isi hati pemain dan sedia menanggung risiko atas tindakannya.

Pernah Tuduh Tan Cheng Hoe Intip Pasukan, Park Hang-seo Terus Paranoid Taktik Licik Sendiri

Kembali dari persaraan skuad kebangsaan

“Saya kembali daripada persaraan atas rasa hormat dipanggil oleh Dollah Salleh dan mahu berbakti untuk negara. [Kini] saya perlu bersara [kembali],” ungkapnya selepas berjaya memimpin skuad yang langsung tidak diberikan harapan itu mara sehingga ke pentas final sebelum tewas tipis 3-4 secara agregat kepada Thailand.

Sebelum saingan Piala AFF Suzuki 2014, Safiq Rahim merupakan kapten pasukan, namun apabila Dollah Salleh mengambil keputusan memanggil semula Shukor Adan ke dalam pasukan, penghormatan diberikan kepadanya.

Kali terakhir beliau tampil bersama Harimau Malaya sebelum itu adalah pada November 2011, namun beliau telah dipanggil semula oleh pengendali, Dollah Salleh untuk mengukuhkan benteng pasukan walaupun beliau sebelum itu merupakan pemain tengah bertahan. Kehadirannya memberikan impak sebagai sang ‘jeneral’.

Ada bakat sebagai pengulas bola sepak

Beliau membuat kemunculan di Astro Arena bergandingan bersama Hafizal Hamad dan Nidzam Jamil ketika perlawanan Malaysia menentang UAE. Penampilan sulungnya sebagai pengulas itu dipuji segenap sudut.

Malah, bekas jurulatih kebangsaan Malaysia, Datuk K. Rajagobal dilihat turut memuji kredibilitinya dalam memberikan komen dan ‘insights’ yang menarik untuk perlawanan itu. Adakah beliau akan menjadi pengulas selepas ini? Tidak, beliau telah pun disahkan akan menjadi pembantu Bojan Hodak di KL City musim depan.

Tentang jentera serangan Harimau Malaya

September lalu, tular seketika pendapat jujur Shukor Adan dalam sebuah rancangan terbitan Astro Arena mengenai calon penyerang skuad kebangsaan di saat kritikan bertubi-tubi ditujukan kepada Guilherme de Paula.

“Tiada, saya tak nampak. Untuk pemain tempatan mengemudi bahagian hadapan itu, bagi saya, saya tak nampak. Kalau ada sedikit pun saya tengok, Syafiq Ahmad. kalau kita lihat daripada Liga Perdana sampai ke Liga Super sekalipun, siapa penyerang tempatan yang menjaringkan gol,” ujarnya dengan jujur dan tegas.

‘Hand of God’ versi Shukor Adan

Ketika UiTM FC meledak jaringan pertama perlawanan di minit ke-84, perlawanan seakan-akan bakal memihak kepada The Lions, namun muncul Shukor Adan yang masuk sebagai pemain gantian dengan satu jaringan kontroversi ‘Hand of God’ beliau yang dihasilkan di minit-minit akhir perlawanan untuk mengikat perlawanan.

Komisioner Perlawanan, Kol (B) Kamarudin Sakhari mengiktiraf dan memberikan gol tersebut kepada Shukor Adan. Itu bukan kali pertama beliau terlibat dengan kontroversi sama – menggunakan tangan. Dalam aksi separuh akhir Piala FA 2010, bersama Negeri Sembilan, beliau menggunakan tangan menafikan gol Selangor.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard, pemain otai tersebut mungkin tidak sengaja menggunakan tangan dalam usaha memburu jaringan dalam situasi kelam kabut di depan gol lawan, namun tindakan pengadil, Mohd Shahrizan Solihim yang wajar dipersoalkan dengan membenarkan gol tersebut.

Selamat bersara legenda. Terima kasih kerana menjadi watak ‘bengis’ namun tetap disayangi dan dikenang!

Leave a Reply