Liga Amatur Malaysia Bakal Kembali Bermula Februari 2022

Liga Amatur Malaysia

Liga Amatur Malaysia yang sebelum ini menjadi platform buat bakat baharu dalam arena bola sepak Malaysia terpaksa dihentikan seketika selama dua tahun akibat wabak Covid-19.

Namun berita baik yang disampaikan oleh Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi pada sidang media pagi semalam mengenai pembukaan semula Liga M3 dan M5 pada Februari dan Mac depan nyata disambut positif bagi peminat bola sepak negara.

Bagi Liga M4 pula bakal diberi nafas baharu dimana pertandingan tersebut hanya akan bermula pada tahun 2023 setelah pasukan relegasi dari Liga M3 dan pasukan promosi dari Liga M5 pada tahun 2022.

Perkara itu dinyatakan oleh beliau setelah selesai mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah AFL ketiga di wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Jelas Datuk Wira Mohd Yusoff, struktur terbaharu AFL di dalam arena bola sepak amatur negara akan berkuat kuasa serta-merta selain bakal dilancarkan musim 2022 pada Januari tahun hadapan.

Ulas beliau lagi menerusi struktur terbaharu ini, AFL berazam untuk membawa liga amatur ini yang terdiri daripada pasukan-pasukan amatur setiap negeri ke peringkat profesional sekali gus membuka peluang untuk setiap pasukan membuktikan kebolehan pemain masing-masing bersaing ke tahap lebih tinggi.

AFL juga dilihat mahu mengembalikan semula kecemerlangan bola sepak Malaysia menerusi pelaksanaan pertandingan yang lebih sistematik serta sihat selain memperbaiki aspek pembangunan bola sepak di tahap akar umbi.

Selaku Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) atas sokongan kedua organisasi ini kepada badan bola sepak amatur itu sejak 2018.

Beliau berharap agar kerjasama di antara FAM, MFL, serta AFL akan dapat diteruskan pada masa hadapan sekali gus membawa sesuatu yang positif dalam kancah bola sepak negara.

Liga M3 dilihat menyasarkan 22 pasukan yang akan menyertai pada tahun 2022 yang mana barisan pasukan bertanding akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan perlawanan akan dilakukan format timbal balik.

Wakil empat pasukan teratas Liga M3 mewakili setiap kumpulan akan beraksi di peringkat suku akhir dan format perlawanan kalah mati dua pusingan akan digunakan pada pentas akhir pertandingan yang dijadualkan pada September 2022 di venue neutral yang mana dua pasukan teratas berpeluang untuk dipromosi ke Liga Premier 2023 anjuran MFL.

Bagi liga M5 2022 pula bakal dilancarkan oleh AFL seawal Mac 2022 selain menjalankan usahasama bersama Persatuan Bola Sepak Negeri serta badan-badan penganjur yang terlibat.

Leave a Reply